Thailand melaporkan 102 kes baharu COVID-19 dan tiga lagi kematian, termasuk seorang warganegara Switzerland, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 2,169 kes dan 23 kematian.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA), Thaweesilp Wissanuyothin berkata, tiga kematian itu membabitkan warganegara Switzerland berusia 82 tahun yang mempunyai sejarah sakit jantung dan tekanan darah tinggi, lelaki Thailand berumur 46 tahun yang pulang dari London dan lelaki Thailand yang merupakan pekerja pembinaan berumur 30 tahun.

"Setakat hari ini, sebanyak 11 provinsi di negara ini bebas COVID-19, termasuk Satun, Ranong, Trat dan Nan," katanya dalam taklimat harian mengenai COVID-19 pada Ahad.

Setakat ini, sebanyak 674 pesakit telah sembuh dan discaj manakala 1,472 pula masih dirawat di hospital.

Berhubung perintah berkurung dari pukul 10 malam hingga 4 pagi yang dikuatkuasakan sejak Jumaat lalu (3 April), Thaweesilp berkata, pihak berkuasa telah mewujudkan 634 pusat pemeriksaan di 77 provinsi di negara ini dalam usaha untuk mengekang penularan COVID-19.

Beliau berkata sebanyak 677 orang didapati telah melanggar perintah berkurung dengan 325 daripada mereka telah didakwa di mahkamah. - BERNAMA