KESUNGGUHAN seorang ibu yang mendaftar sebagai murid di sebuah tadika di Guizhou, China telah membuka mata masyarakat bahawa tiada halangan jika ingin berjaya.

Wanita berusia 31 tahun yang dikenali sebagai Shi Xiaoqin itu mendedahkan dia tidak pernah menerima pendidikan formal sejak kecil lantas membuat keputusan untuk turut belajar di tadika bersama anaknya yang berusia lima tahun.

Wanita itu berharap dengan cara ini, dia dapat membantu mengajar anaknya di rumah sekali gus membuka peluang buatnya untuk mencari pekerjaan yang lebih baik.

Shi tidak pernah terfikir akan pandangan serong masyarakat terhadap dirinya sebagai seorang dewasa yang belajar di tadika, bahkan dia lebih mementingkan kebaikan buat dirinya dan anak di masa hadapan.

Shi turut menzahirkan kegembiraan meluangkan masa bersama rakan-rakan ciliknya, bermain dan bergurau-senda di luar kelas ketika waktu rehat.

Shi kelihatan gembiara dapat bermain bersama rakan-rakan kecilnya ketika waktu rehat
Bagaimanapun, dia tidak pernah lupa akan tanggungjawab yang perlu dipikulnya di rumah menjaga kebajikan anak-anak serta orang tuanya.

Di sebalik kesukaran mengimbangi kesemua tugas hariannya, Shi dikatakan sentiasa menunjukkan prestasi yang baik di dalam kelas, bahkan semakin hari semakin baik.

Gurunya, Chi Mingxia berkata, “Shi sangat tekun belajar. Dia mempelajari pinyin dan berjaya mengingati banyak karakter setakat ini. Dia juga merupakan pelajar contoh di dalam kelas.”