Dua butir bom meletup dalam masa selang lebih kurang tujuh minit di bandar selatan Thailand ini dan polis percaya ia dilakukan oleh kumpulan pelampau Islam, lapor agensi berita Reuters.

Sebutir bom meletup di luar sebuah kedai runcit 7-11 dekat sebuah sekolah manakala bom kedua meletup dekat sebuah balai polis.

Kejadian dilaporkan berlaku lebih kurang pukul 2.15 petang tadi.

"Lima orang cedera di kedai runcit dan mereka semua dihantar ke hospital. Tidak ada yang cedera dalam letupan kedua," kata gabenor wilayah Songkhla, Krissada Boonrat.

Pihak berkuasa serta merta menutup semua jalan penting ke bandar ini dan melakukan pemeriksaan rapi ke atas orang ramai yang keluar masuk.

Laporan awal menyebut pejabat konsul Malaysia di wilayah itu mengesahkan tiada rakyat Malaysia yang cedera.