Filipina mengesahkan telah mengarahkan siasatan ke atas seorang biarawati warga Australia selepas didapati menghina pentadbiran Presiden Rodrigo Duterte.

Bagaimanapun, Duterte berkata dakwaan yang mengatakan biarawati tersebut, Patricia Fox direman adalah tidak benar.

"Saya mengarahkan agar Fox disiasat, tidak dihantar pulang ke negara asal dan tidak ditahan reman.

"Sebaliknya saya menjemput dia untuk disoal siasat atas salah laku yang dilakukan." jelasnya.

Pada Isnin Fox dibawa ke Biro Imigresen Filipina dari rumahnya di Manila sebelum dibenarkan keluar pada Selasa.

Fox didakwa menyertai perarakan badan bukan kerajaan yang mengutuk tindakan Duterte menguruskan isu kemiskinan di kalangan rakyatnya.

"Ia adalah tindakan mencemari kedaulatan negara ini.

"Kami tidak pernah melakukan perkara seumpama terhadap Australia, kami tidak juga melakukannya terhadap negara eropah.

"Kenapa dia tidak mengeluarkan kenyataan itu terhadap kerajaan Australia? Di sana juga ada kepincangannya," jelas beliau.

Kenyataan Duterte itu merujuk kepada gesaan yang dibuat Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) terhadap Australia agar mengambil tanggungjawab ke atas 800 pelarian dan pencari suaka yang terkandas di Papua New Guinea.