Dua puluh lapan orang cedera di Sicily pada Rabu dalam bencana gempa bumi yang berlaku akibat letusan Gunung Etna, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan pihak berkuasa Itali.

Menurut kenyataan Institut Geofizik dan Volkanologi Nasional Itali (INGV), letusan gunung berapi itu mengakibatkan satu gempa bumi berukuran 4.8 pada skala Richter yang berlaku pada pukul 3.19 pagi waktu tempatan pada kedalaman kira-kira sekilometer.

Pusat gempa terletak beberapa kilometer di utara Catania, bandar kedua terbesar di Sicily, yang tidak mengalami sebarang kerosakan.

Gegaran kuat gempa telah didahului kira-kira 1,000 getaran kecil sejak beberapa hari kebelakangan ini, kebanyakannya tidak disedari orang ramai, menurut institut itu.

Sekurang-kurangnya 10 daripada 28 mangsa yang cedera -- kebanyakannya warga emas -- telah dikejarkan ke hospital namun tiada yang berada dalam keadaan serius, lapor agensi berita Ansa.

Secara keseluruhan, kira-kira 600 orang telah dipindahkan dari rumah mereka atas alasan berjaga-jaga pada Rabu.

BACA: Sicily dikejutkan gempa bumi 4.8 magnitud, akibatkan kerosakan dan kecederaan

Situasi terburuk telah dicatat di Zafferana Etnea dan Fleri -- sebuah pekan kecil dan perkampungan desa di kawasan metropolitan sekitar Catania -- di mana kebanyakan gegaran berlaku.

Selain kedua-dua lokasi, empat lagi majlis perbandaran sekitar Catania adalah antara kawasan paling terjejas akibat bencana itu, menurut Ansa.

Dalam mesej yang disiarkan dalam akaun Facebook dan Twitter, Gabenor Sicily Nello Musumeci menjelaskan bahawa beliau telah bertemu pihak berkuasa tempatan semua enam majlis perbandaran yang paling teruk terjejas pada Rabu untuk merancang intervensi pasca peristiwa.

"Wilayah ini kini mengambil bahagian dalam jadual pengurusan krisis yang telah berlaku di Catania," menurut Musumeci.

"Kami telah memantau situasi di hospital, namun pemeriksaan awal menunjukkan tiada kecederaan serius yang dialami selain beberapa luka lebam," kata gabenor itu.

BACA: Gunung berapi Etna di Itali mula aktif

Sebuah jawatankuasa kecemasan Perlindungan Awam telah dipanggil pada pukul 5 pagi bagi menilai situasi dan membuat rumusan pada penghujung hari selepas menghantar pasukan teknikal untuk menyokong pihak berkuasa tempatan dalam membantu penduduk di keenam-enam majlis perbandaran yang terjejas.

Gunung Etna, yang berada pada ketinggian 3,350 meter atas paras laut, terletak di bahagian timur Sicily dan merupakan gunung berapi terbesar serta tertinggi di Eropah, selain antara gunung berapi paling aktif di bumi, menurut INGV.

Ia adalah sebuah gunung berapi yang aktif dengan aktif berulang secara relatif.

-- BERNAMA