SEORANG matador terpaksa menahan kesakitan setelah mengalami kecederaan teruk di bahagian skrotum selepas ditanduk seekor lembu jantan.

Kejadian berlaku pada satu festival di Mexico, minggu lalu.

Luis David Adame ketika itu baru sahaja memulakan persembahan dengan mengibarkan kain merah apabila lembu jantan tersebut tiba-tiba sahaja menukar arah dan menanduknya sebelum dia dicampak ke tanah.

Adame kemudiannya dibawa keluar untuk rawatan kecemasan sebelum dibawa ke hospital.

Laporan media tempatan menyebut Adame dirodok tanduk dan menyebabkan luka selebar 10 sentimeter.

Dalam perkembangan terbaharu, kesihatan Adame dilaporkan semakin baik dan dia sempat memuat naik status tentang keadaannya yang beransur sembuh ke akaun Twitter, pada Ahad.