Seorang wanita terpaksa melalui detik menyakitkan apabila dia dipukul sebelum dibakar hidup-hidup oleh keluarga mentuanya kerana masih belum mengandung selepas 10 tahun berkahwin.

Kumari yang berasal dari Bihar, India diseret sebelum kepalanya dihantukkan ke dinding oleh keluarga suaminya dalam satu kejadian pada Isnin lalu sebelum mangsa pengsan.

Suspek kemudiannya memasukkan mangsa ke dalam sebuah peti sebelum dibawa ke sungai untuk dibakar.

Kumari diletakkan di atas pembakar yang digunakan untuk membakar mayat sebelum seorang saksi mendengar jeritannya dari dalam peti berkenaan.

Saksi kemudian menghubungi polis yang kemudian bergegas ke lokasi kejadian dan bertindak mengeluarkan Kumari yang tidak sedarkan diri.

Polis melaporkan mangsa sudah lama diseksa oleh keluarga mentuanya selepas masih gagal hamil meskipun sudah 10 tahun berkahwin dengan suaminya, Ravinda Thakur.

Ekoran daripada itu, Kumari dikasari dan didera secara fizikal.

"Pihak polis sudah melakukan tangkapan. Kami masih menunggu mangsa kembali sedar untuk menjalankan siasatan lanjut," kata seorang anggota polis, Avadhesh Kumar Singh.