Kumpulan militan Hamas mengumumkan, Mesir telah membebaskan lapan warga Palestin, termasuk empat anggota kumpulan itu, dari tahanan, selepas bertahun-tahun menafikan tahu mengenai kes penculikan itu.

Ketua Hamas, Ismail Haniyeh yang membuat pengumuman itu pada Khamis, mengucapkan terima kasih kepada Mesir sebaik pulang dari membuat lawatan selama tiga minggu ke negara itu.

Empat militan Hamas itu telah diculik pada Ogos 2015, ketika individu bersenjata yang tidak dikenali menyerang sebuah bas yang membawa sekumpulan pelancong Palestin melintasi sempadan Gaza-Mesir.

Kerajaan Mesir selama ini secara konsisten menafikan mempunyai sebarang kaitan dengan penculikan itu, sambil membayangkan kemungkinan pihak pemberontak Islam dari bahagian utara Semenanjung Sinai yang menjadi dalangnya.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan buat masa ini, bagaimana Mesir berjaya memperoleh pembebasan itu.