Selepas rundingan selama kira-kira 20 bulan, 27 pemimpin Kesatuan Eropah (EU) akhirnya memberi lampu hijau kepada perjanjian pengunduran Britain dari blok itu pada Ahad.

Kelulusan ke atas perjanjian itu sekali gus membuka jalan kepada pengunduran secara tersusun.

Kelulusan diberikan selepas kurang satu jam rundingan berlangsung.

Pemimpin EU menyifatkan perjanjian itu, yang perlu mendapat kelulusan Parlimen Britain, sebagai yang terbaik dan yang paling relevan.

Perdana Menteri Theresa May menyifatkan perjanjian yang dipersetujui itu memenuhi keinginan rakyat yang mengundi untuk keluar dari EU.

"Ada pihak berpandangan, mustahil untuk dicapai satu perjanjian Brexit yang dapat diterima oleh semua pihak.

"Sedari awal saya menolak sikap mudah putus asa itu dan meletakkan sasaran untuk merundingkan satu perjanjian yang menguntungkan United Kingdom (UK) dan menguntungkan EU.

"Perjanjian yang menepati hasil referendum dan meletakkan kita di jalan menuju masa depan yang lebih cerah, sambil pada masa sama mengekalkan hubungan baik dengan rakan dan negara jiran.

"Terima kasih atas kerja keras pasukan perunding kedua-dua pihak, hingga membolehkan perjanjian ini dipersetujui," katanya pada satu sidang media di sini pada Ahad.

Terdahulu, beliau menghadiri sidang kemuncak luar biasa pemimpin EU yang diadakan bagi memuktamadkan dan merasmikan perjanjian Brexit.

Britain dijadual meninggalkan EU secara rasmi pada 29 Mac 2019.