CANTIK jangan disangka lemah, lebih-lebih jika si cantik itu seorang pengamal seni bela diri — lagi hebat, petinju UFC!

Begitulah nasib seorang penyamun di Rio Di Janeiro, Brazil yang ternyata ‘tersilap langkah’ apabila tindakannya ingin menyamun seorang wanita berakhir dengan dirinya sendiri dibelasah teruk oleh wanita tersebut.

Suspek, seorang lelaki, dikatakan telah mendekati wanita tersebut dengan niat ingin merompaknya, namun tidak menyedari bahawa wanita itu ialah Polyana Viana, atlet profesional seni bela diri campuran (MMA) di UFC.

Viana, 26 tahun, dikatakan merebahkan suspek dengan hanya dua tumbukan dan satu sepakan, sebelum menguncinya dengan kuncian ‘rear-naked choke’.

Dia kemudiannya memanggil polis sambil memaksa suspek terbabit duduk sementara menunggu ketibaan pihak berkuasa.

“Pada mulanya dia datang dekat saya kononnya untuk bertanyakan waktu. Saya dah beritahu (waktu), tapi dia masih tidak berganjak.

“Kemudian, dia menghulurkan ‘pistol’… tapi saya sedar, takkanlah pistol sebab ia terlalu lembut.

“Jadi, saya pun bangun dah terus bagi dua kali penumbuk dan penendang. Dia jatuh, kemudian saya kunci dia dengan teknik ‘rear naked choke’ sebelum memaksa dia duduk dan tunggu polis datang,” katanya seperti dipetik BBC.

Viana pada ketika itu sedang berada di luar blok pangsapurinya sebelum didatangi suspek yang dikhuatiri memiliki sepucuk pistol.

Bagaimanapun, pistol yang dimiliki suspek hanyalah senjata olok-olok yang diperbuat daripada kadbod.

Viana merupakan seorang petinju kategori strawweight di UFC dengan rekod kemenangan 10-2.

Petarungan terakhirnya di kejohanan UFC 227, Ogos tahun lalu berkesudahan dengan kekalahan di tangan petinju Amerika Syarikat, J.J. Aldrich.