Lebih 38.2 juta rakyat Thai melaksanakan hak mereka pada Ahad lepas dalam Pilihan Raya Umum negara itu yang telah lama dinanti-nantikan, namun laluan ke arah pembentukan kerajaan masih menjadi teka-teki berikutan keputusan yang tidak muktamad.

Penantian masih belum berakhir bagi warga Thai untuk mengetahui siapakah yang akan membentuk kerajaan berikutnya dan perdana menteri baharu memandangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Thailand berkata ia hanya akan mengumumkan keputusan akhir rasmi sebelum 9 Mei.

Pemerhati politik berkata apa sahaja boleh berlaku sekarang kerana terdapat lebih 180 aduan difailkan untuk siasatan dan ia boleh membawa perubahan kepada peruntukan kerusi sekiranya kemenangan beberapa anggota parlimen dibatalkan dan parti pula dibubarkan.

Selepas empat hari, SPR hanya mengumumkan pada Khamis, undi yang dikira sepenuhnya bagi setiap kawasan pilihan raya dalam pilihan raya pertama di Thailand selepas rampasan kuasa tentera pada 2014. Bagaimanapun, pihak media mendapati beberapa angka berubah-ubah dan disusuli dengan jumlah pengundian yang dikemas kini.

Palang Pracharath Party, yang disokong tentera, mahu Perdana Menteri Jeneral Prayuth Chan-o-cha untuk terus berkuasa, dan menuntut hak untuk membentuk kerajaan berdasarkan undi popular yang diraihnya sebanyak 8.4 juta undi.

Dakwaan Pheu Thai

Pheu Thai, parti yang dikaitkan dengan bekas pemimpin yang kini hidup dalam buangan, Thaksin Shinawatra dan enam sekutunya, juga mendakwa telah memenangi "sekurang-kurangnya 255 kerusi" dalam Parlimen, yang mempunyai 500 anggota, untuk membentuk kerajaan.

Bagaimanapun hakikatnya, kedua-dua kem politik ini sedang berhempas pulas untuk membentuk kerajaan Thai yang baharu disebabkan SPR berkata keputusan rasmi hanya akan diumumkan sebelum 9 Mei, namun begitu kebanyakan parti sudah boleh menganggarkan jumlah kerusi yang dimenangi berdasarkan undi tidak rasmi yang mereka peroleh.

Jika barisan demokratik pembangkang diketuai Pheu Thai dan sekutunya boleh membentuk kerajaan baharu, ia bagaimanapun terpaksa berhempas pulas untuk memilih perdana menteri kerana peraturan parlimen di Thailand menyatakan 250 anggota Senat yang dilantik junta akan menyertai 500 anggota parlimen yang dipilih, dalam pengundian untuk memilih perdana menteri.

Sehubungan itu, sesebuah parti itu perlu mendapatkan sokongan 376 anggota parlimen untuk menduduki kerusi perdana menteri.

Pemerhati politik berkata perikatan pimpinan Pheu Thai tidak dapat membentuk gabungan yang kuat kerana mereka memerlukan angka ajaib 376 untuk mengundi bagi memilih perdana menteri, manakala Palang Pracharath dan sekutunya hanya perlu menang 126 kerusi di Parlimen.

Dalang kuasa

Sehubungan itu, Democrat yang berada di tempat keempat dari segi jumlah kerusi yang dimenangi dan Bhumjaithai, yang berkempen atas tiket supaya 'dihalalkan' marijuana dan berada di tangga kelima, dilihat sebagai 'dalang kuasa' dalam pembentukan kerajaan baharu. Bagaimanapun, kedua-dua parti ini enggan mendedahkan pilihan mereka.

Democrat, parti tertua Thailand, dianggarkan memenangi 55 kerusi (33 kerusi pilihan raya dan anggaran 22 kerusi senarai parti) manakala Bhumjaithai dipimpin Anutin Charnvirakul, 52 kerusi ( 39 kerusi pilihan raya dan anggaran 13 kerusi senarai parti).

Pemimpin parti Democrat, Abhisit Vejjajiva beberapa kali menyatakan dengan jelas bahawa parti itu sama sekali tidak akan berganding bahu dengan Pheu Thai. Bagaimanapun, Democrat mengalami kekalahan paling buruk dalam pilihan raya Ahad lepas, terutamanya kepada Future Forward Party dan Palang Pracharath.

Berikutan prestasi buruk itu, Abhisit mengumumkan persaraannya. Jadi, adakah Democrat, tanpa Abhisit, akan berganding bahu dengan Pheu Thai?

Naib Rektor Thammasat University Prinya Thaewanarumitku berkata perikatan pimpinan Pheu Thai bukan hanya memerlukan Bhumjaithai tetapi juga Democrat untuk membentuk gabungan yang kuat untuk meluluskan dasar utama di parlimen.