Hampir separuh daripada usianya, Virender, 33, bekerja sebagai buruh kasar, melakukan kerja yang lazimnya akan dikerahkan kepada masyarakat kasta paling rendah di India.

Virender adalah dari kasta Dalit dan berdasarkan latar belakang itu, harapannya untuk keluar daripada kehidupan yang sukar itu amat tipis.

Ini tidak pula bermakna dia tidak mempunyai keinginan untuk keluar daripada sistem yang seolah-olah menghukumnya untuk bekerja mencuci lubang pembetungan

Meskipun diskriminasi kasta adalah haram di India tetapi ianya diterima oleh masyarakat.

Virender dan beratus-ratus lagi pekerja sanitasi serta keluarga mereka menyertai perarakan bantahan di New Delhi pada 25 Sept lepas untuk menuntut pekerjaan yang mereka lakukan itu ditamatkan.

Kira-kira 1,800 orang pekerja kehilangan nyawa mereka termasuk bilangan yang ramai juga di Delhi sejak beberapa tahun kebelakangan ini akibat keadaan kerja yang berbahaya, demikian menurut pergerakan sanitasi pekerja 'Safai Karamchari Andolan'.

Kumpulan yang menjalankan kempen berkenaan berkata pihak berkuasa perbandaran di India masih bergantung kepada cara primitif dan menggesa peralatan moden digunakan untuk membersihkan longkang yang tersumbat, membersihkan najis manusia, menyapu jalan serta pelupusan sisa.

Menurut pihak berkenaan, kemajuan hebat yang dicapai India dalam bidang teknologi angkasa lepas dan peluru berpandu akan menjadi sia-sia sekiranya pencapaian saintifik itu tidak membantu masyarakat miskin negara itu.

"Negara lain turut melancarkan misi ke ruang angkasa tetapi mereka menghentikan kematian pekerja pembersihan lubang pembetungan. Mengapa kita tak boleh menggunakan peralatan moden untuk kerja pembersihan itu? Apakah kerana ia dilakukan oleh masyarakat Dalit? " tanya Ashok Bharti, pengerusi All India Ambedkar Mahasabha, pertubuhan yang memperjuangkan hak masyarakat Dalit.

Vrinda Grover, seorang peguam menyifatkan kematian pekerja yang mencuci lubang pembetungan sebagai "pembunuhan" kerana pakaian keselamatan tidak disediakan untuk mereka yang masuk ke dalam lubang untuk membersihkan longkang yang tersumbat.

Beliau menggesa supaya pihak berwajib menangani sistem yang membuatkan pekerja sanitasi dianiayai.

Di sebalik rungutan ini, keadaan pekerja sepenuh masa perbadanan perbandaran adalah lebih baik berbanding mereka yang bekerja sebagai buruh kontraktor swasta dan di kawasan kejiranan.

"Setiap pagi saya ke chowk (dataran awam) dan menunggu sekitar 50 hingga 100 orang yang lain. Mereka yang memerlukan khidmat kami tahu di mana mahu mencari kami. Ada kalanya kami dapat kerja, ada kalanya tidak, " Virender memberitahu Bernama.

Jika ada kerja, Virender akan menggunakan tangan serta sedikit peralatan seperti batang besi, tali dan baldi.

Di sebalik bertahun-tahun melakukan kerja yang kurang menyenangkan itu, dia masih berasa loya dengan keadaan kerja yang kotor itu.

"Apabila saya masuk ke dalam lubang dengan air kotor sampai ke pinggang atau dada, macam-macam benda boleh terapung di sekeliling saya. Mungkin tikus mati, najis manusia atau tuala wanita. Rasa loya buat saya tak lalu makan berjam-jam selepas selesai kerja, " kata Virender, yang kelihatan lebih tua daripada usia yang sebenar. Rasa sedih terpancar di kedua-dua matanya.

Kerja yang berbahaya tetapi upah yang tidak seberapa!

Pekerja bukan sahaja perlu berdiri tanpa baju dalam air yang amat sejuk tetapi juga busuk pada musim dingin. Mereka sering jatuh sakit dan ada yang meninggal dunia kerana sakit atau ketika sedang bekerja.

Mereka yang masuk ke dalam lubang juga berdepan dengan risiko maut kerana sesak nafas.

Kawan Virender, Anil baru-baru ini terkorban selepas tali yang diikat kepada badannya sebelum diturunkan dalam lubang sedalam sekitar enam meter putus.

"Selepas kejadian itu saya tak pergi kerja. Saya tahu mereka yang buat kerja seperti saya ada yang mati, tapi Anil ini seperti saudara saya. Saya berasa marah, kecewa tetapi saya tak boleh buat apa-apa, " kata Virender, sambil menunjukkan kad pengenalan kawannya itu.

Menurut Virender, sebelum bekerja sebagai pencuci, Anil adalah penarik beca. Dia sudah tidak tahan dengan kerja itu kerana memerlukan kekuatan fisikal serta jadual kerja yang berat.

Kes kematian Anil mendapat liputan meluas di media dan menyebabkan usaha mengutip derma dibuat untuk membantu keluarganya.

Dalam masa yang sama kempen untuk memperjuangkan nasib pekerja seperti Virender dan Anil masih diteruskan di kebanyakan bahagian di India.

Menurut aktivis, India mesti menukar minda lama dan menggunakan amalan moden untuk membantu pekerja sanitasi.

"Golongan elit yang memerintah tidak berasa kesakitan mereka yang maut di dalam lubang pembetungan. Mereka tidak menganggap kes seperti itu kes ketidakadilan sosial, " Bharti memberitahu Bernama.

Peserta yang mengambil bahagian dalam perarakan bantahan baru-baru ini juga mengecam kempen kerajaan "Swachh Bharat" (India bersih), yang bertujuan untuk menghapiskan tabiat membuang air besar di kawasan terbuka serta mewujudkan kesedaran kebersihan sebagai diskriminasi terhadap masyarakat Dalit.

Langkah itu akan hanya menggalakkan lebih ramai golongan berkenaan diambil bekerja sebagai buruh kasar.

Aktivis sosial, Nikhil Dey berkata: "Misi Swachh Bharat adalah untuk mewujudkan lebih banyak amalan kasta. Ianya tak langsung membersihkan kekotoran dalam sistem."

*Pewarta Bernama di New Delhi, Shakir Husain melaporkan perkembangan dari ibu negara India.

**Diterjemah oleh Melati Mohd Ariff