DATUK Bandar di Hamilton New Zealand dan bandar-bandar sekitarnya akan menyertai sesi solat Jumaat di masjid bandar masing–masing sebagai tanda soladiriti bersama umat Islam negara itu.

Ia disahkan imam masjid Khajida, Hamilton, Imam Shazly Khan ketika dihubungi Astro AWANI.

“Esok (Jumaat) kebanyakan imam di bandar akan bertemu dengan Datuk Bandar masing-masing. Ia bagi membolehkan Datuk Bandar menyertai sesi khutbah dan solat Jumaat.

“Bukan sahaja di Hamilton, tetapi bandar di sekitar Hamilton juga.

“Kami akan kongsikan isi kandungan khutbah Jumaat yang berunsur cinta serta memperkenalkan Islam sebagai agama rahmat untuk semua,” katanya.

Tambah Imam Shazly, apa yang manis adalah hikmah di sebalik tragedi menyayat hati di mana penduduk New Zealand lebih mendalami keindahan Islam.

“Alhamdulillah kita lihat pintu hidayah terbuka. New Zealand terbuka hati menerima komuniti Islam secara lebih luas dan televisyen tempatan juga akan menyiarkan azan solat Jumaat. Ini suatu rahmat,” katanya.

Beliau berkata masjid di kawasan sekitar juga ada yang sudah memulakan solat jenazah ghaib untuk allahyarham Muhammad Haziq Mohd Tarmizi.


Khutbah Jumaat berunsur rahmat sekalian alam

Sementara itu Imam Shazly berkata kandungan khutbah silat Jumaat akan menceritakan kisah cinta, keindahan Islam dan bagaimana Islam itu merupakan agama rahmat buat sekalian alam.

“Kami akan menceritakan bagaimana Islam sebuah agama yang menghormati rakan-rakan bukan Islam.

“Kami mahu memberitahu warga New Zealand bahawa komuniti Islam boleh memberikan nilai tambah kepada negara ini dan tidak sesekali mencetuskan situasi sukar,” tambahnya.


Kagum solidariti rakyat New Zealand

Sementara itu Imam Shazly berkata beliau kagum dengan sikap penduduk tempatan yang secara sukarela menyerahkan senjata milik mereka selepas kerajaan mengumumkan pengharaman senjata raifel dan separa automatik.

“Amat menakjubkan apabila individu yang mempunyai lebih dari satu senjata di rumah secara sukarela menyerahkan kepada pihak berkuasa demi keselamatan.

“Saya mendengar perbincangan penduduk tempatan yang mahu menyerahkan senjata kepada pihak berkuasa,” katanya.

Perdana Menteri Jacinda Ardern pada Khamis mengumumkan kerajaan akan melaksanakan program pembelian semula senjata bergred tentera dari orang ramai dan mengharamkan penggunaan senjata bergred tentera.