Insiden menembak mati 12 orang di sebuah pejabat akhbar satirikal Perancis, Charlie Hebdo pada Rabu disifatkan tidak mencerminkan ajaran Islam yang sebenar kata kerajaan Arab Saudi.

“Arab Saudi memantau perkembangan insiden dengan rasa sedih terhadap serangan itu,” lapor agensi berita rasmi negara itu sambil memetik pegawai kerajaan yang tidak dinamakan.

Sumber itu turut dilaporkan berkata “serangan penakut kumpulan pengganas itu tidak bersesuaian dengan Islam.”

Pendakwaraya Perancis sebelum ini berkata saksi mendengar kumpulan bersenjata terbabit melaungkan perkataan yang dikaitkan dengan Islam ketika melancarkan serangan itu.

Charlie Hebdo sebelum ini telah menerbitkan beberapa edisi menghina Islam termasuk Nabi Muhammad.

Arab Saudi dan Perancis mempunyai hubungan yang baik.

Dalam insiden Rabu, 12 terbunuh termasuk Ketua Pengarang akhbar Charlie Hebdo selepas sekumpulan lelaki menyerbu pejabat itu dan melepaskan tembakan.

Mereka kemudiannya melarikan diri dan kini sedang diburu pihak berkuasa.