Sepasang suami isteri di India direjam dengan batu sehingga mati oleh saudara kepada wanita berkenaan akibat berkahwin dengan lelaki berlainan kasta.

Pasangan berusia 29 tahun itu yang sudah berkahwin selama tiga tahun dan memiliki dua orang anak pulang ke kampung wanita berkenaan untuk menziarahi keluarganya.

Menurut polis, wanita berkenaan bukan sahaja berkahwin dengan pilihannya yang berlainan kasta, malah turut melarikan diri dan tinggal di Bangalore.

Kedua-dua mereka berasal dari kampung yang sama iaitu dari selatan Kartanaka.

“Mereka dilihat oleh penduduk kampung sebelum mereka memaklumkannya kepada abang wanita berkenaan.

“Saudara-maranya kemudian berkumpul sebelum menyerang pasangan itu dan merejam mereka sehingga mati,” kata pegawai polis, Guru Shanth kepada AFP.

Tiga suspek telah dikenal pasti termasuk abang dan bapa saudara wanita berkenaan.

Insiden berkenaan merupakan tragedi baharu dalam rangkaian pembunuhan paling kejam di wilayah berkenaan setakat ini.