Seorang lelaki yang menerpa masuk ke sebuah klinik keluarga dan keibubapaan di Colorado, Amerika Syarikat dan menembak mati tiga orang, dilaporkan berkata tidak mahu ada pengguguran bayi lagi.

Apa yang dikatakan oleh suspek, Robert Lewis Dear, 57, ketika dia ditahan polis itu dirasakan mempunyai kaitan dengan kontroversi perkhidmatan kesihatan yang disediakan oleh organisasi klinik Planned Parenthood di Colorado Springs itu, termasuk pengguguran bayi.

Namun demikian, ia tidak dapat lagi dipastikan apakah motif serangan tersebut.

Pihak berkuasa juga belum lagi membuat perbincangan mengenai kejadian yang mengakibatkan tiga terbunuh, termasuk pegawai polis, dan sembilan cedera.

Ketua Peguam Negara itu, Loretta E. Lynch, dalam mengutuk insiden tersebut, berkata ini bukan sahaja sebuah jenayah terhadap komuniti Colorado Springs, tetapi ia juga jenayah terhadap wanita-wanita yang mendapatkan perkhidmatan kesihatan dari klinik terbabit, penguat kuasa undang-undang yang mahu melindungi dan berkhidmat, serta orang-orang yang tidak berdosa.

Mereka yang tercedera – lima pegawai polis dan empat orang awam – dilapokan berada dalam keadaan stabil.

Garrett Swasey, 44, yang terbunuh dalam insiden itu, merupakan pegawai polis yang bertugas di University of Colorado di Colorado Springs, pihak berkuasa berkata.

Dear ditahan di klinik Planned Parenthood selepas kejadian tembak-menembak dengan pihak polis dan bakal dihadapkan ke mahkamah pada Isnin.

Tidak dapat dipastikan lagi sekiranya Dear telah mendapatkan peguam bela untuk dirinya.

Klinik tersebut telah menjadi sasaran protes secara berterusan oleh aktivis anti pengguguran bayi dan tahun ini telah dikritik lebih hebat apabila sebuah kumpulan anti pengguguran telah merekodkan secara rahsia perbincangan beberapa pegawai organisasi itu tentang bagaimana cara mendapatkan sel manusia dari fetus yang digugurkan.