ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang Jumaat, 31 Disember 2021.

1. UNHCR puji tindakan Indonesia benarkan pelarian Rohingya mendarat

Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) memuji tindakan kerajaan Indonesia membenarkan 105 pelarian Rohingya mendarat dengan selamat setelah tiga minggu berada di lautan terbuka berhampiran wilayah Aceh.

2. Brunei lanjut 15 hari lagi penutupan sempadan dengan Malaysia

Pejabat Perdana Menteri Brunei pada Khamis mengumumkan penggantungan sementara aktiviti rentas sempadan antara Brunei dan Malaysia akan dilanjutkan selama 15 hari lagi, lapor Xinhua.

3. Bekas Presiden Korea Selatan Park Geun-hye dibebaskan

Bekas Presiden Korea Selatan Park Geun-hye dibebaskan pada Jumaat di bawah pengampunan khas yang diberikan oleh Presiden Moon Jae-in, lapor Xinhua memetik laporan Agensi Berita Yonhap.

4. EU pertimbang larangan senjata, sekatan baharu terhadap Myanmar

Kesatuan Eropah (EU) sedia mengenakan sekatan baharu termasuk larangan jualan senjata terhadap rejim tentera di Myanmar, lapor Agensi Anadolu (AA) memetik kenyataan ketua dasar luar blok itu pada Khamis.

5. 4 maut, 15 cedera dalam kejadian letupan bom di Quetta Pakistan

Sekurang-kurangnya empat orang terbunuh manakala 15 lagi cedera dalam kejadian letupan bom di bandar Quetta, barat daya Pakistan, ibu kota wilayah Balochistan, pada Khamis, menurut pegawai hospital.

6. Malaysia kutuk serangan Houthi di Jazan

Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan peluru berpandu puak pemberontak Houthi ke atas Jazan, Arab Saudi pada 24 Disember lalu.

7. Israel akan laksanakan suntikan vaksin dos keempat COVID-19

Kerajaan Israel pada Khamis berkata pihaknya akan mula menawarkan suntikan vaksin COVID-19 dos keempat kepada golongan paling rentan.

8. Varian Omicron cetus kekalutan bagi syarikat penerbangan di AS

Syarikat-syarikat penerbangan di Amerika Syarikat terus menyaksikan bilangan besar pembatalan penerbangan pada Khamis disebabkan varian coronavirus Omicron turut memberi kesan kepada kakitangan syarikat penerbangan, lapor Agensi Anadolu (AA).

9. Biden gesa Rusia redakan ketegangan dengan Ukraine

Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden menggesa rakan sejawatnya dari Rusia Vladimir Putin supaya meredakan ketegangan dengan Ukraine menerusi panggilan telefon pada Khamis, lapor Agensi Anadolu (AA) memetik kenyataan White House.

10. Ratusan rumah musnah kebakaran hutan di Colorado

Puluhan ribu penduduk di Colorado, Amerika Syarikat diarah berpindah selepas kebakaran hutan tercetus dan masih berlanjutan di dua bandar.