PIHAK polis Cologne telah berjaya menyelamatkan seorang wanita yang telah dijadikan tebusan di sebuah farmasi yang terletak di stesen kereta api utama di bandar Jerman itu.

Portal berita antarabangsa melaporkan pihak polis juga telah menahan suspek yang terdahulu bertindak nekad menjadikan wanita tersebut sebagai tebusan dengan membawanya ke sebuah farmasi yang terletak berdekatan dengan stesen berkenaan.

Bagaimanapun, suspek tersebut alami kecederaan begitu juga wanita yang telah diselamatkan dan kini sedang menerima rawatan.

Buat masa ini, pihak berkuasa tempatan masih enggan mendedahkan motif kejadian dan identiti suspek.

Seorang wartawan tempatan, Dana Regev yang berada di lokasi insiden turut melaporkan perkembangan semasa ketika pasukan keselamatan menggerakkan kerja-kerja menyelamat.


BACA: Wanita jadi tebusan di stesen kereta api utama Cologne

Beberapa jam sebelum pihak berkuasa menyelamatkan mangsa, mereka telah mengarahkan orang ramai mengosongkan bangunan yang merupakan stesen kereta api utama menghubungkan Jerman dan Eropah Barat.

Pihak polis juga turut menggesa warga tempatan untuk mengelak dari menggunakan perkhidmatan kereta api untuk mengelakkan kesulitan.