KANAK-KANAK memerlukan kebebasan dalam mempelopori dunia seni budaya dan alam sekitar bagi meneroka, meluahkan dan memperkembangkan idea pada usia yang muda. Ini terserlah melalui seni budaya tradisional yang membawa pengisian jatidiri yang semulajadi dan berilmiah tinggi.

Di Konsert Genius Seni 'Seni Merentasi Zaman’ yang diadakan di Auditorium Perdana Angkasapuri, RTM baru-baru ini, ternyata bintang yang bersinar di negara kita merangkumi bakat-bakat muda dalam seni budaya.

Genius Seni, program pendidikan berstruktur dari Kementerian Pendidikan diuruskan oleh Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN) direka khas untuk kanak-kanak berbakat cemerlang dalam bidang Koir, Muzik dan Tarian.

GEMILANG TANAH MELAYU
DIGAHAYU TUANKU


Acara Seni Merentasi Zaman ini bermula dengan aspirasi seorang anak muda yang cuba memahami kaleidoskop seni zaman berzaman pelbagai kaum di tanahair kita.

Tirai dibuka membawa intipati budaya mencerminkan keanggunan dan estetika bahasa Melayu, melalui koir nyanyian lagu klasik Suriram dan medley lagu-lagu Melayu disulami gerak tari indah. Dalam persembahan pembukaan Gemilang Tanah Melayu "Dirgahayu Tuanku", Genius Seni Koir mempamerkan gabungan harmoni suara-suara muda lunak merdu yang menaikkan semangat, mendukung harapan murni dan perpaduan.

Genius Seni Koir menanam kesediaan bersatu-padu pasukan koir demi prestasi bersama. Latihan koir bukan sahaja menguatkan tahap vokal kanak-kanak, mereka menjaga khazanah bangsa mendendangkan lagu-lagu rakyat lama dan juga melodi terbaru.

TARIAN TRADISI

Tari-tarian merupakan satu seni yang membolehkan kanak-kanak meluahkan daya kreativasi dalam alam tiga dimensi. Melalui tarian, generasi muda boleh mengenal budaya pelbagai lapisan masyarakat dan meningkatkan pemahaman kepelbagaian - nilai, pemikiran dan inspirasi bersama. Di sini, Genius Seni Tari menekankan kepentingan tarian tradisional di peringkat tertinggi dan juga tarian kontemporari.

Walaupun ramai yang melihat aspek hiburan dan persembahan yang menyeronokkan, seni tarian sebenarnya adalah satu kerjaya yang memerlukan disiplin yang tinggi sejak kecil. Seorang penari sering memaparkan kematangan, semangat dan fokus untuk kesenian yang lebih tinggi berbanding rakan sebaya lain. Itulah sebabnya, ia adalah penting untuk mendedahkan anak-anak berbakat ke dunia tarian pada usia yang muda.

Kecekapan dan keunikan gerak yang lemah gemalai serta licik bersesuaian dengan tarian Sep Sep Tom Tom, Nona Nona dan Rentak Tandak. Penari Genius Seni sememangnya serba boleh, bergerak dari tarian tradisional ke kotemporari dengan baik.Tapi kegemaran penulis pastinya tarian klasik seperti Joget Si Pinang Muda, Kenangan Manis dan Joget Pahang yang begitu menawan sehingga kondukter orkestra turut berjoget di atas pentas!

RITMA ORKESTRA

Persembahan Orkestra di bawah program Genius Seni Muzik mempertengahkan bakat muda di peringkat tertinggi. Siapa sangka, penampilan prestasi pemusik ini memerlukan latihan dan dedikasi bertahun-tahun lamanya. Apabila adik Ooi Yen Hao, 6 tahun mengalunkan Bach Violin Concerto dalam A Minor, penonton rata-rata terpegun melihat bagaimana pemain biola muda ini boleh memperoleh pencapaian yang begitu tinggi selama dua tahun berkecimpung dalam dunia seni musik, memenangi pelbagai anugerah di Eropah dan Asia.

Malah, banyak persembahan Seni Merentasi Zaman memaparkan seni terbaik yang telah memenangi pertandingan antarabangsa, membawa kemasyhuran kepada negara di peringkat global. Justru, finale Negaraku penuh emosi kerana sememangnya jelas bahawa kanak-kanak ini amat cintakan negara.

Mungkin keprihatinan terhadap seni budaya kita boleh disokong semua pihak - dari dunia korporat kepada kementerian yang berkaitan untuk tahun-tahun akan datang untuk memastikan genius terserlah dalam generasi muda kita.

Ini dapat menentukan bahawa bakat seni dan kehebatan muzik terus menjadi kebanggaan dan membawa kemasyhuran kepada negara melalui kecemerlangan budaya. Bak kata pepatah Melayu,

benih yan baik
Dicampak ke darat menjadi gunung ...
Dicampak ke laut menjadi pulau ...


Semoga Malaysia menjadi darat dan laut bagi bakat-bakat muda ini mencambahkan potensi sepenuh mereka dalam seni budaya negara tercinta.


*Ninot Aziz adalah seorang penulis dan pemenang anugerah selain menjadi konsultan perhubungan awam untuk bzBee Consult

**Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.