Anak saudara Tan Sri P.Ramlee, pelakon dan pengarah, Melissa Saila, mengakui terguris dengan kenyataan kontroversi yang dikeluarkan oleh pengarah, David Teo yang didakwa menghina seniman agung tersebut.

Dalam panggilan telefon bersama Astro AWANI hari ini, Melissa dengan tegas menafikan P.Ramlee pernah hidup merempat seperti yang digambarkan dalam kenyataan itu.

"Ya, dia memang tidak kaya tetapi keadaannya tidaklah seteruk yang digambarkan," kata Melissa.

Melissa juga mempersoalkan mengapa nama P.Ramlee perlu dipetik sebagai contoh kerana ia sama sekali tidak relevan dengan konteks keseluruhan mesej yang ingin disampaikan terutamanya dalam persekitaran dunia hiburan kontemporari tanah air.

Jelas Melissa lagi, penggiat seni, sejak dulu hingga kini, berdepan dengan pelbagai masalah yang membawa banyak kesukaran untuk mencapai tahap stabiliti dalam karier masing-masing.

Jika ada yang mampu mengumpul aset dan kekayaan, ia dilakukan melalui bidang di luar bidang seni, seperti perniagaan.

Namun untuk seseorang artis melakukan sesuatu yang melangkaui bakat seni masing-masing, ia memerlukan kerjasama banyak pihak, selain penubuhan atau badan-badan yang membolehkan semua urusan berjalan lancar.

Sementara itu, Teo dalam satu kenyataan kepada media menafikan ada mengeluarkan kenyataan yang menghina itu.

Jelas pengarah yang juga pemilik syarikat penerbitan MIG itu, dia memandang tinggi dan menghormati P.Ramlee yang disifatkan sebagai penggiat seni dengan bakat yang luar biasa.

Apa yang terjadi, kata David, berkemungkinan berpunca daripada salah tafsiran terhadap kenyataan sebenar yang dikeluarkan.

Justeru, dia memohon maaf jika kenyataan itu menyinggung mana-mana pihak.

Berikut adalah kenyataan penuh David:

Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee tiada galang ganti sebagai seorang insan seni yang 'multi talented'. Saya sebagai Penerbit sangat mengkagumi karya-karya beliau yg 'tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas'.

Saya sentiasa berpesan kepada artis-artis dan pengarah di bawah naungan syarikat saya supaya sentiasa berdisiplin dan berilmu supaya tidak menjadi mangsa tipu daya golongan yang ingin mengambil kesempatan.

Saya dengan ini menafikan dan tidak pernah mengeluarkan kenyataan seperti yang tersebar sekarang di media. Tidak juga terdetik sedikit pun untuk menidakkan apatah lagi menghina Seniman Agung Tan Sri P Ramlee dan karya-karya beliau.

Saya yakin ini semua adalah salah faham dan salah tafsir pihak yang mendengar dan menulis artikel ini.

Namun, saya dengan rendah hati memohon maaf kepada semua terutamanya kaum keluarga Seniman Agung Tan sri P. Ramlee dan seluruh penggiat seni tanah air yang terguris dengan isu yg sedang diperkatakan sekarang.

Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin.