ENJIN carian terbesar dunia, Google, hari ini mengabadikan ulang tahun kelahiran seniman agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee ke-88 dengan menampilkan karikatur beliau dalam Google Doodle.

Logo tersebut menampilkan P. Ramlee berada di kerusi pengarah sambil memegang corong pembesar suara dan helaian skrip, dengan sebuah gitar di sisi kerusi tersebut; sebagai lambang pencapaian luar biasa beliau dalam bidang lakonan, pengarahan, dan seni suara.

Dalam laman sesawang rasmi mereka, Google Doodle menjelaskan pemilihan imej P. Ramlee dalam karikatur berkenaan sebagai memori yang diingati rakyat Malaysia, lelaki kacak berkumis tipis berkemeja petak.


Google Doodle turut menyertakan dua lakaran cadangan bagi karikatur seniman agung itu, yang akhirnya digabungkan sebagai paparan logo enjin carian tersebut hari ini.

Lakaran cadangan Google Doodle

P. Ramlee, atau nama sebenarnya Teuku Zakaria Teuku Nyak Putih, dilahirkan pada 22 Mac 1929 di Pulau Pinang.

Sepanjang kerjaya beliau sebagai anak seni, P. Ramlee telah membintangi lebih 60 buah filem termasuklah Panggilan Pulau, Tiga Abdul, dan Sabarudin Tukang Kasut.

BACA: Siapa kata P. Ramlee hidup merempat?

BACA: Belajar mengurus daripada P. Ramlee

VIDEO: Jadikan P. Ramlee sebagai contoh

Kecemerlangan P. Ramlee turut diiktiraf di peringkat antarabangsa apabila beliau memenangi beberapa anugerah, antaranya Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Asia 1957 bagi filem Anakku Sazali.

Beliau juga dianugerahkan Most Versatile Talent Award pada Festival Filem Asia 1963 menerusi lakonannya dalam filem Ibu Mertuaku.

P. Ramlee menghembuskan nafas terakhir pada 29 Mei 1973 akibat serangan jantung.