WAKIL kepada bintang pop Australia Kylie Minogue sedang berusaha untuk menghalang bintang realiti televisyen Kylie Jenner daripada memiliki tanda dagangan ke atas nama ‘Kylie’.

Lapor The Guardian, Jenner berharap dengan mendapat tanda dagangan ke atas nama ‘Kylie’, beliau boleh mengembangkan empayar produk kecantikan dan fesyen beliau.

Namun wakil kepada Minogue di Amerika Syarikat, KDB, berkata jika Jenner berbuat demikian, ia akan mengelirukan peminat-peminat Minogue dan menjejaskan penjenamaan beliau.

Dalam permohonan itu, mereka berkata Minogue merupakan 'penghibur terkenal dunia' dan 'aktivis kanser payudara' manakala Jenner hanya seorang 'bintang realiti televisyen'.

Selain itu, Minogue telah memiliki tanda dagangan ke atas nama 'Kylie Minogue', 'Kylie Minogue Darling' dan 'Lucky – the Kylie Minogue Musical'.

Menurut The Guardian, Minogue mempunyai rekod jualan berjumlah 80 juta unit pada 2015.

Namun Jenner mempunyai jumlah pengikut media sosial yang sama.

Selain menjadi bintang dalam program 'Keeping Up With The Kardashians, Jenner kini memiliki produk kecantikan yang diberi nama Kylie Cosmetics.

Memilik tanda dagangan dalam kalangan selebriti bukanlah baharu.

Sebelum ini, Beyonce dan Jay-Z memohon tanda dagangan ke atas nama anak perempuan mereka Blue Ivy Carter.

Taylor Swift turut membuat permohonan yang sama ke atas beberapa ungkapan yang terkandung dalam album beliau, 1989.