Satu surat tuntutan telah dikeluarkan oleh peguam yang dilantik agensi pengiklanan terkemuka Leo Burnett Malaysia hari ini kepada pembikin filem Tan Chui Mui dan syarikat produksi Da Huang Pictures.

Ia bagi memberikan peluang kepada kedua-dua pihak agar menarik balik kenyataan yang telah dibuat dan disebarkan menerusi media sosial baru-baru ini.

Tuntutan itu telah dikeluarkan berikutan dakwaan yang tidak berasas oleh pengarah filem Love Conquers All bahawa skrip filem iklan 'The Rubber Boy' telah diciplak oleh agensi pengiklanan tersebut.

Pengarah terkenal itu dalam beberapa siri kenyataan yang dibuat menerusi laman sosial Facebook dari 24 hingga 27 Jun 2016 mendakwa "But I can't believe how an Ad Agency like Leo Burnett can just use my story without asking my permission."

Walaupun penjelasan awal telah dibuat kepada Da Huang Pictures bahawa jalan cerita skrip mereka dan skrip 'The Rubber Boy' adalah dua cerita yang berbeza, namun Chui Mui terus membuat tuduhan-tuduhan palsu menerusi laman Facebooknya.

Leo Burnett menegaskan bahawa elemen-lemen utama termasuk mesej, watak, visual di ladang getah dan emosi adalah merupakan skrip yang dibuat oleh agensi, yang telah dikongsi dengan tiga pengarah termasuk daripada Da Huang pada tahun 2014. Kedua-dua pihak iaitu Tan Chui Mui mahu pun Da Huang Pictures tidak menyertakan elemen-elemen penting tersebut.

Kenyataan-kenyataan di media sosial itu berniat untuk merosakkan reputasi Leo Burnett yang telah dikongsi dan kemudiannya disiarkan oleh media arus perdana.

Bagi melindungi nama baik dan reputasi Leo Burnett, agensi pengiklanan itu tidak mempunyai pilihan lain selain mengambil tindakan undang-undang sekiranya Tan Chui Mui dan Da Huang Pictures enggan menarik balik kenyataan tersebut.

Leo Burnett memandang serius dakwaan-dakwaan tersebut dan menyerahkan kepada mahkamah untuk membuat keputusan mengenai perkara tersebut.