Sektor pertanian Negeri Sembilan akan terus menanggung kerugian bernilai jutaan ringgit jika tanah berstatus ladang ragut dan ladang kekal seluas 1,214 hektar tidak diusahakan secara optimum.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Asas Tani negeri, Bakri Sawir, berkata bagi mengatasi masalah itu pihaknya sedang mencari jalan terbaik untuk mengembalikan produktiviti ladang tersebut dalam tempoh terdekat.

"Ladang berpotensi yang diusahakan hanya sekitar 404.68 hektar dan selebihnya berada dalam keadaan terbiar atau diusahakan separuh jalan. Untuk itu, antara inisiatif pihak kita ialah mencari pengusaha dan peladang yang berminat untuk bersama-sama kami mengusahakan kembali ladang terbiar tersebut.

"Kita juga akan mendapatkan maklum balas dan bantuan daripada pelbagai pihak termasuk Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) berkenaan produk-produk yang sesuai ditanam dan diterima di pasaran," katanya kepada Bernama selepas melancarkan Program MyBestBuy - Pasar Waghih Kito Negeri Sembilan Day di ibu pejabat FAMA, di sini pada Jumaat.

Katanya, setelah dilaksanakan kelak, perjalanan projek akan dipantau bagi mengelakkan pertanian semusim selain memastikan pengusaha menanam tanaman mengikut permintaan pasaran dan tidak menumpukan kepada tanaman bermusim seperti durian.

Selain itu katanya, kerajaan negeri juga akan memastikan infrastruktur terutama jaringan jalan raya bagi mendekatkan kawasan-kawasan pertanian di Jelebu ke Broga disiapkan bagi memudahkan peladang memasarkan hasil pertanian mereka di Lembah Klang.

"Ini adalah antara inisiatif untuk menjadikan Negeri Sembilan terutama Jelebu sebagai hab pertanian bagi pasaran Lembah Klang. Tambahan pula daerah itu dan kawasan sekitar pesat dengan tanaman durian dan nanas yang semakin berkembang," katanya.

Selain itu, Bakri berkata pihaknya akan mengambil pendekatan proaktif dalam memperkenalkan dan mempromosikan produk agromakanan iaitu hasil pertanian segar, produk hiliran serta kulinari tradisional yang berasal dari Negeri Sembilan di pasaran yang lebih luas.

Sementara itu, Ketua Pengarah FAMA, Datuk Ahmad Ishak berkata pihaknya akan menggerakkan semua pejabat FAMA di seluruh negeri dan daerah untuk memperhebat program MyBestBuy ini.

"Setakat ini, terdapat 150 lokasi bagi program ini dan sambutannya sangat menggalakkan kerana pengguna terutama di kawasan bandar berpuas hati kerana mendapat barangan segar pada harga berpatutan," katanya.

Katanya program itu yang pada masa ini hanya diadakan pada Jumaat terakhir setiap bulan akan dijalankan dengan lebih kerap pada masa akan datang. -- Bernama