ANTARA pelbagai berita dari dalam dan luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah 10 berita yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Rabu, 20 Mei 2020.

PERKEMBANGAN ISU COVID-19

1) COVID-19: 60 kes sembuh, 31 kes baharu dan tiada kematian

Bilangan kes sembuh COVID-19 melebihi kes jangkitan baharu dicatatkan apabila 60 kes pulih dan dibenarkan keluar wad diumumkan hari ini berbanding 31 kes baharu. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya dan dibenarkan discaj di negara ini adalah 5,706 kes atau 81.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

2) JPBN Sarawak jejaki 365 kontak rapat COVID-19 di Kuching

Kerajaan negeri Sarawak menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak kini sedang menjejaki 365 kontak rapat COVID-19 di Kuching. Mereka merupakan sebahagian daripada 2,554 senarai kontak rapat yang telah dikenal pasti di bahagian tersebut.

3) Rakyat Myanmar positif COVID-19 ditahan di depoh dari sebelum PKP

Rakyat Myanmar yang dikesan positif COVID-19 selepas pulang ke Myanmar sudah berada di Depot Tahanan Imigresen sejak sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di Malaysia. Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mereka dikesan positif selepas melakukan ujian di Myanmar.

4) KKM sahkan wanita hamil positif COVID-19 di Kelantan mahu pulang bersalin di kampung

Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan kes positif COVID-19 membabitkan seorang wanita mengandung yang pulang dari Ampang, Kuala Lumpur ke kampung halamannya di Kelantan. Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, mangsa yang sedang hamil 35 minggu melakukan perjalanan rentas negeri kerana mahu bersalin di kampung halaman.

5) COVID-19: Bayi berusia 22 bulan disahkan meninggal dunia di Sulawesi

Seorang bayi lelaki berusia 22 bulan meninggal dunia di Indonesia selepas dilaporkan positif COVID-19 awal bulan ini. Menerusi laporan The Jakarta Post, bayi itu difahamkan mula menerima rawatan awal di sebuah wad isolasi di Hospital Kandou.


NORMAL BAHARU

1) Banyak cara lain untuk sambut hari perayaan

Terdapat banyak cara lain untuk masyarakat menyambut perayaan dan tidak hanya kekal dengan cara biasa terutamanya apabila kebanyakan negara dalam dunia mempraktikkan normal baharu. Pakar Perubatan dan Kesihatan Awam, Dr Khor Swee Kheng berkata, meskipun masyarakat kini mungkin berdepan kesusahan susulan normal baharu namun beliau percaya ada hikmah di sebalik semuanya.

2) SPARK X bantu asah skil anak muda melalui program virtual

Sebagai penyedia platform untuk anak muda tempatan mengasah kemahiran mereka, StartupMalaysia, dengan tajaan Malaysia Venture Capital Management Berhad (MAVCAP) baru-baru ini menganjurkan SPARK X, program pembelajaran secara maya percuma untuk belia berusia 18 hingga 25 tahun.

3) COVID-19: Tiada lagi penginapan percuma, caj kuarantin hotel dikenakan bermula 1 Jun

Tiada lagi penginapan secara percuma bagi mana-mana individu yang memasuki pintu masuk negara bermula pada 1 Jun ini. Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata mereka yang dikuarantin bakal dikenakan caj kuarantin hotel bermula tempoh tersebut termasuk warganegara dan bukan warganegara.

4) Rindu untuk bercuti? Ini apa yang boleh anda jangka dalam percutian selepas PKP

Setelah sekian lama terperuk di dalam kediaman rumah, pastinya orang ramai merindui suasana di luar seperti menikmati keindahan alam semula jadi dan menghirup udara segar seperti di pantai dan di tempat peranginan.

5) Aktiviti penggambaran dibenarkan tetapi bersyarat - Ismail Sabri

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, kebenaran itu ‘dibuka’ dengan syarat dan kru penggambaran perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).