Sebanyak 149 papan iklan haram dikesan dibina dan dipasang di sepanjang jajaran Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) di daerah Kerian.

Yang Dipertua Majlis Daerah Kerian (MDK) Helmi Yusof @ Jusoh berkata berdasarkan pemantauan dibuat pada tahun lalu mendapati hanya 34 papan iklan tanda di sepanjang jajaran lebuh raya berkenaan didirikan secara sah.

Katanya tindakan penguatkuasaan telah dibuat pihaknya pada penghujung tahun lalu dengan mengeluarkan 14 notis kepada pemilik papan iklan mengikut Seksyen 35, Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 untuk menurunkan visual iklan dan meruntuhkan struktur binaan tanpa kebenaran.

Beliau berkata susulan tindakan penguatkuasaan itu juga, pihaknya bersama Ahli Majlis Daerah Kerian hari ini melaksanakan tindakan meroboh satu papan iklan berhampiran susur keluar Bukit Merah di Bagan Serai kerana kegagalan pemilik syarikat untuk mematuhi arahan notis tersebut.

"Sebanyak 13 lagi papan iklan yang turut gagal mematuhi arahan notis yang diberikan itu akan diambil tindakan secara berperingkat," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.

Helmi berkata tindakan diambil itu membuktikan pihaknya serius terhadap perkara tersebut selain membuat pemantauan berterusan bagi memastikan pemilik papan iklan mematuhi arahan dan undang-undang yang diguna pakai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).