Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan dan mengeluarkan kompaun kepada 22 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sepanjang Isnin.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan, antara kesalahan termasuk aktiviti melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial dan aktiviti yang melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP).

"Semalam merupakan hari ke-33 pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Task Force Operasi Pematuhan melibatkan 3,545 Pasukan Pematuhan yang terdiri daripada 15,018 anggota telah membuat 63,616 pemeriksaan bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan SOP PKPP," katanya dalam sidang media di sini pada Selasa.

Selain itu 3,821 pasar raya,5,545 restoran serta 1,954 penjaja,1,326 kilang,dan 2,787 pasar awam atau tani telah diperiksa.

Turut diperiksa, 3,783 tempat ibadah serta 1,479 tempat riadah.

Dalam pada itu, 1,545 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) turut ditahan dalam Operasi Benteng atau Op Benteng sejak 1 Mei lalu.

Dari 1 Mei sehingga 13 Julai 2020, seramai 1,545 PATI, 252 tekong dan 110 penyeludup telah ditahan menerusi Operasi Benteng.

Operasi Benteng juga berjaya mengusir 254 PATI, 9 tekong dan 37 bot dari mencerobohi sempadan negara.

"Semalam ,PDRM juga telah membuat 66 Sekatan Jalan Raya Operasi Benteng dan memeriksa 31,330 kenderaan bagi mengekang kemasukan Pendatan Asing Tanpa Izin (PATI) terutamanya dilorong-lorong tikus.

"PDRM telah berjaya menahan 5 warganegara asing di Sekatan Jalan Raya Operasi Benteng atas kesalahan imigresen," ujar beliau.