Gara-gara makan spageti dengan daging cincang, seramai 23 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di sini terpaksa dihantar ke hospital akibat keracunan makanan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, kesemua pelajar yang terdiri daripada 11 lelaki dan 12 perempuan terbabit berkemungkinan besar mengalami keracunan makan selepas menjamah makanan terbabit ketika makan malam pada Ahad lalu.

Katanya, kesemua pelajar terlibat mula menunjukkan simptom keracunan makanan sejak pagi tadi sebelum dihantar ke Hospital Gerik dan sebuah poliklinik berdekatan untuk mendapatkan rawatan.

"Jabatan Kesihatan Negeri telah menerima laporan mengenai kejadian keracunan makanan daripada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Hulu Perak pada jam 12.45 tengah hari tadi.

"Kesemua mereka bagaimanapun mengalami gejala ringan dan hanya mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar serta tiada kes yang dimasukkan ke dalam wad," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Susulan kejadian itu, dapur asrama MRSM terbabit telah ditutup dibawah Akta Pengawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit 1988.

"Antara tindakan lain yang diambil oleh PKD juga termasuk memberi pendidikan kesihatan kepada kesemua 444 pelajar serta warga sekolah berkenaan," ujar beliau.

Siasatan lanjut ketika ini sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar keracunan makanan itu.