Seramai 29 peniaga di bazar larut malam 'Uptown' Shah Alam di Seksyen 24 di sini yang terjejas dalam kejadian kebakaran bulan lalu menerima bantuan khas yang keseluruhannya berjumlah RM131,000 daripada kerajaan Selangor pada Rabu.

Exco Pembangunan Usahawan, Rodziah Ismail, berkata sumbangan dana ihsan yang diberikan menerusi tabung bencana kerajaan negeri adalah antara usaha untuk memastikan kesinambungan aktiviti perniagaan yang terjejas berikutan insiden pada 12 Nov itu.

"Sumbangan ini adalah sebahagian daripada tanggungawab sosial korporat kami," katanya berucap pada majlis penyampaian sumbangan di bangunan ibu pejabat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), di sini pada Rabu.

Hadir sama, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Norita Mohd Sidek dan Pengurus Komunikasi Korporat PKNS, Ishak Hashim.

Dalam kejadian tersebut, sejumlah 35 lot terjejas akibat kebakaran tersebut.

Sementara itu, Ishak berkata peniaga berkenaan menerima antara RM1,000 hingga RM5,000 setiap orang mengikut kerosakan atau kemusnahan dialami mereka.

Beliau berkata PKNS memperuntukan RM1.772 juta untuk kerja-kerja baik pulih lot perniagaan berkenaan dan ia dijangka siap selewat-lewatnya April tahun depan.

"Sementara menunggu baik pulih selesai, PKNS turut mendirikan khemah perniagaan dengan menelan belanja RM106,000 untuk disewa sementara oleh peniaga untuk tempoh enam bulan," katanya.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya sedang mempertimbangkan penurunan kadar sewa mulai bulan ini bagi meringankan beban peniaga sehingga kerja baik pulih selesai sepenuhnya.

-- BERNAMA