Tiga individu termasuk seorang ketua unit pemasaran dan pembiayaan sebuah bank ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana dipercayai terlibat dalam aktiviti rasuah melibatkan nilai lebih RM150,000.

Difahamkan, pekerja bank cawangan Putrajaya yang berusia 30 tahun menerima rasuah daripada dua individu yang juga pasangan suami isteri sebagai balasan membuat perakuan pengesahan majikan palsu bagi meluluskan satu pembiayaan peribadi, tahun lalu.

Sumber berkata, suspek wanita berusia 37 tahun yang juga pembantu operasi Pasukan Polis Marin dan suaminya yang berusia 36 tahun bertemu pekerja bank itu untuk mendapatkan pembiayaan peribadi jenis i-Lestari CO-OP dengan nilai yang besar.

Bagaimanapun, sumber berkata, permohonan itu tidak lengkap dan berpakat untuk membuat satu pengesahan palsu untuk menyenangkan permohonan itu diluluskan.

"Siasatan awal mendapati, suami isteri itu memberi rasuah kepada pekerja bank itu sebagai balasan membuat perakuan pengesahan majikan untuk membolehkan permohonan pembiayaan diluluskan.

"Hasil daripada maklumat itu, satu operasi dijalankan SPRM dan menahan ketiga-tiga suspek sekitar jam 11 pagi tadi untuk siasatan lanjut," katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Jabatan Siasatan SPRM, Datuk Simi Abd Ghani mengesahkan penahanan itu dan berkata mereka sedang melakukan siasatan lanjut.

Ketiga-tiga suspek tersebut dijangka akan direman di mahkamah Putrajaya esok bagi membantu siasatan.