Sebanyak 35 pasangan pengantin dinikahkan serentak dalam Majlis Nikah Jama'ie Syar'ie Peringkat Negeri Perak 2017 di Masjid Sultan Azlan Shah di sini pada Sabtu.

Majlis tahunan yang diadakan sempena Hari Malaysia itu dimulakan sejak 2013 dan telah setakat ini melibatkan hampir 200 pasangan.

Majlis dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Shasiah negeri, Datuk Mohd Nizar Zakaria yang mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Hadir sama Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin dan Ketua Hakim Syarie Negeri Perak, Datuk Asa'ari Mohd Yazid.

Mohd Nizar dalam ucapannya berkata, kerajaan negeri sentiasa mencari jalan untuk membantu meringankan kos sara hidup rakyat dengan penganjuran majlis-majlis seumpama itu.

"Majlis seumpama ini bukan sahaja dapat menjimatkan kos keluarga pasangan tetapi juga dapat merapatkan silaturrahim," katanya.

Beliau menasihatkan pasangan pengantin supaya melakukan yang terbaik di dalam mengharungi kehidupan berkeluarga.

Sementara itu, Mohd Yusop memberitahu, pihaknya juga menubuhkan Kelab Nikah Jama'ie Syar'ie untuk meneruskan silaturrahim antara pasangan yang terlibat.

Beberapa pasangan yang ditemui menyifatkan program itu sangat baik, lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu.

Muhamad Hafiz Mohamad Salim, 25 dan kembarnya, Muhamad Afiq berkata, mereka sepakat menyertai program itu bersama-sama pasangan mereka, Asthma Husna Zainal Abidin dan Nur Izzah Zahirah Ahmad Khidir, dua bulan lalu, kerana ia sangat baik dan jarang sekali diadakan.

"Majlis pernikahan saya dan Asthma Husna dijangka bulan Disember ini tetapi ayah mencadangkan buat sekali dengan kembar saya dalam majlis ini," kata Muhamad Hafiz.

Bagi saudara baru, Muhamad Aiman Ellias Phoon, 39, dan pasangannya, Patimah Ellias, 35, majlis itu sangat membantu pasangan seumpama mereka.

"Suami saya muallaf dan saya pula yatim piatu, program seperti ini memang sangat membantu kami," kata Patimah yang bekerja bersama suami di syarikat pendawaian letrik.