KUCHING: Stadium Perpaduan, di sini malam tadi bergema dengan tepukan gemuruh daripada lebih 5,000 hadirin yang menonton teater muzikal "Segulai Sejalai" sempena sambutan Hari Malaysia 2023 peringkat kebangsaan.

Persembahan memukau selama 20 minit terbahagi kepada tiga segmen itu menampilkan perjalanan sejarah di Semenanjung, Sabah dan Sarawak dalam usaha menuntut kemerdekaan sehingga kini.

Watak pejuang kemerdekaan seperti Rosli Dhobi dan Mat Salleh yang ditonjolkan dalam teater berkenaan memberi penghayatan akan kepentingan mempertahankan tanah air daripada cengkaman penjajah pada suatu masa dahulu.

Merupakan antara pengisian sambutan Hari Malaysia, laungan "Merdeka!" dan semangat "Segulai Sejalai" (bermaksud seiring sejalan) sepanjang teater itu menggamatkan suasana di stadium sepanjang sambutan bagi memperingati enam dekad penubuhan Malaysia.

Hadir menyaksikan persembahan berkenaan ialah Pemangku Yang Dipertua Negeri Sarawak Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar dan isteri Puan Sri Fatimah Mohd Iskandar serta Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Kedua-dua Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta barisan Kabinet juga hadir pada sambutan Hari Malaysia 2023 peringkat kebangsaan itu.

Hadir sama Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan isteri Puan Sri Juma'ani Tuanku Bujang serta Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dan isteri Datin Seri Juliah Salang.

Terdahulu, perasmian sambutan Hari Malaysia 2023 peringkat kebangsaan dilaksanakan dengan memperingati 60 tahun pembentukan Malaysia antara Semenanjung, Sarawak dan Sabah.

Upacara dimulakan dengan Anwar, Abang Johari dan Hajiji menandatangani Buku Khas Hari Malaysia selepas tayangan video khas memaparkan detik-detik bersejarah penubuhan hari Malaysia pada 1963.

Ia disusuli dengan perarakan masuk Konvoi Kembara Merdeka diikuti upacara menaikkan Jalur Gemilang oleh Tentera Laut Diraja Malaysia dengan iringan lagu "Negaraku".

Kemudiannya, lagu "Jalur Gemilang" didendangkan bagi memeriahkan suasana stadium sebelum diakhiri upacara bacaan ikrar Rukun Negara.

-- BERNAMA