Daerah Petaling Jaya telah mencatatkan sejumlah 484 tangkapan sejak tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuat kuasa sejak 18 Mac lalu setakat Selasa.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, daripada angka itu seramai 90 individu telah dituduh di mahkamah atas kesalahan berkaitan PKP.

"Kita sedang buat kajian untuk tambah sekatan jalan raya di kawasan selatan Petaling Jaya berbanding sebelum ini yang lebih fokus pada kawasan utara, Kota Damansara dan Damansara.

"Sekarang kita nak kaji untuk tambah dua lagi sekatan jalan raya di selatan Petaling Jaya," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya pada Selasa.

Dalam pada itu, Ezanee turut mengulas berhubung kadar pertambahan kenderaan melibatkan di kawasan Petaling Jaya yang menyaksikan kesesakan di lokasi sekatan jalan raya.

"Daripada pemerhatian kita, 90 peratus kita dapati mereka mempunyai surat pelepasan dan berkhidmat dalam sektor penting," jelasnya.

Bercakap mengenai Sistem Rondaan Aberdeen yang kini berkuatkuasa di daerah itu, beliau berkata ia sangat memberangsangkan dan efektif dalam membantu kawalan PKP.

"Kita dah ada 18 tangkapan hasil rondaan Aberdeen, tetapi kita tidak fokus pada tangkapan, apa yang penting keberadaan pihak polis di lokasi jadi bila masyarakat lihat ada anggota polis berkawal mereka akan duduk rumah," katanya lagi.