Kesemua 716 pendatang tanpa izin (PATI) warga Bangladesh, yang tiba bersama-sama dengan pelarian Rohingya dengan menaiki bot di Pulau Langkawi bulan lepas, akan dihantar pulang ke negara asal secara berperingkat sebelum Aidilfitri.

Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh di Malaysia, Md Shahidul Islam berkata pihaknya berharap semua proses penghantaran dapat diselesaikan sebelum sambutan Aidilfitri bulan depan.

Beliau turut menyatakan penghargaan kepada pihak berkuasa Malaysia kerana menjaga mangsa di Depoh Tahanan Imigresen Belantik di Sik, Kedah serta memberi kerjasama dalam proses penghantaran pulang.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan penghantaran pulang kumpulan pertama 61 mangsa warga Bangladesh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini Khamis.

Kumpulan pertama itu dibawa menaiki bas dari depoh tahanan itu pada pukul 3.30 pagi tadi dan tiba di KLIA pada tengah hari sebelum menaiki penerbangan ke Dhaka pada pukul 3.20 petang Khamis.

Sebaik tiba di KLIA, kesemua mereka diberikan pas menaiki pesawat dan dokumen relevan oleh pegawai Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh.

Dalam perkembangan berkaitan, Md Shahidul berkata pihaknya merancang untuk mengadakan program rasmi pengambilan pekerja Bangladesh untuk bekerja di Malaysia.

"Mereka (warga Bangladesh) harus menggunakan saluran yang sah untuk datang bekerja di sini dan kami sedang berbincang isu ini dengan kerajaan Malaysia," katanya.