Sebanyak 78.3 peratus ibu bapa di Lembah Klang membenarkan anak-anak mereka memiliki gajet, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh.

Menurut beliau, dapatan daripada kajian Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) itu membimbangkan dengan sikap masyarakat yang kini dilihat begitu terikat dengan pelbagai alat teknologi.

Katanya, galakan menggunakan peranti itu digunakan untuk memperoleh maklumat serta berkomunikasi tanpa mengendahkan dunia fizikal di sekeliling mereka.

Sehubungan itu, Hanna berkata, beberapa inisiatif telah diambil oleh kementerian seperti penganjuran majlis ilmu kekeluargaan sempena sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan 2018 iaitu Forum Keibubapaan di Alam Siber dan bicara Santai Keluarga oleh LPPKN.

"Forum Keibubapaan di Alam Siber dan bicara Santai Keluarga membincangkan beberapa topik penting seperti keselamatan siber, pengantunan kanak-kanak (child grooming) dan pornografi.

“LPPKN turut menganjurkan Forum ‘Digital Parenting and Child Online Protection’ dengan kerjasama UNICEF pada 20 Jun 2019.

“Topik berkaitan keselamatan kanak-kanak di alam siber, jenayah seksual kanak-kanak terus dibincang dalam Forum Keibubapaan Kreatif Mendepani Cabaran Alaf Baru pada 13 Julai 2019 serta forum kekeluargaan yang diadakan LPPKN dengan kerjasama NGO pada 25 November bersempena Bulan Keluarga Kebangsaan tahun 2019,” kata beliau lagi.

Hannah berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Azizah Mohd Dun (PH - Beaufort) kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang mahu tahu tindakan kementerian dalam menangani isu kelekaan penggunaan gajet dalam kalangan kanak-kanak pada era ini.

Dalam pada itu, kata Hannah, kementeriannya melalui Institut Sosial Malaysia (ISM) juga telah menganjurkan Seminar Keselamatan Kanak-Kanak “Always Beware and Be Aware (ABBA)” semenjak tahun 2015.”

Seminar itu dilaksanakan selaras dengan kehendak Konvensyen mengenai Hak Kanak-kanak (CRC), Dasar Kanak-kanak Negara (DKKN) dan Dasar Perlindungan Kanak-Kanak Negara iaitu setiap kanak-kanak mempunyai hak untuk membesar dalam persekitaran yang selamat.