Perdana Menteri Tun Dr Mahathir mendedahkan ada pegawai kerajaan sebelum ini yang bergaji sehingga RM200,000.00 sebulan.

Dalam satu temu bual eksklusif dengan Astro AWANI di Langkawi pada Ahad, Dr Mahathir menjelaskan bahawa kerajaan tidak membuat siasatan terpilih atau bermotif politik, sebaliknya komited menangani gejala rasuah yang berlaku sebelum ini termasuk dalam jentera kerajaan.

“Bila kita kata membersihkan, kita maksudkan membersih jentera kerajaan yang mana kita dapati ramai daripada pegawai-pegawai tinggi daripada kerajaan telah menyeleweng, tidak lagi menjalankan tugas sebaliknya cuba mencari keuntungan untuk diri sendiri.

"Sampai kita lihat ada pegawai kerajaan yang gajinya sampai RM200,000 sebulan disebabkan penyelewengan dalam pentadbiran kerajaan. Orang semacam ini kita sudah bersihkan dan singkirkan,” kata Dr Mahathir.


Dakwanya, jika diteliti, terlalu ramai yang terlibat dengan rasuah dalam kerajaan sebelum ini, malah ada di antara mereka memiliki 50 kesalahan membabitkan rasuah.

Tambah beliau, selepas mentadbir kerajaan selama enam bulan, kerajaan telah berjaya mengekang gejala rasuah semampu mungkin dan ketika ini tidak ada lagi rungutan tentang adanya pentadbiran kerajaan yang terlibat dengan rasuah.

“Mereka boleh berurus dengan kerajaan tanpa melibatkan rasuah. Kita dapati syarikat-syarikat dan peniaga sekarang ini tidak lagi merungut adanya rasuah ketika berurusan dengan kerajaan,” jelasnya lagi.