KUALA LUMPUR:Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Maharani, Nor Hayati Bachok merupakan pemimpin politik terbaharu yang disahkan positif COVID-19.

Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) ADUN Maharani dalam satu kenyataan hari ini, bagaimanapun berkata, Nor Hayati telah menjalani kuarantin kendiri sejak pulang dari Sabah pada 26 September lalu hingga beliau disahkan positif COVID-19.

Dalam tempoh itu, PKWR ADUN Maharani berkata, beliau telah menjalani ujian saringan pertama iaitu pada 26 September, dengan keputusan negatif, sebelum ujian kedua yang dilakukan pada 4 Oktober, menunjukkan keputusan sebaliknya.

“Pihak kami sekali lagi menegaskan bahawa sejak hari pertama kembali sehingga 5 Oktober 2020, YB Puan Hajah Nor Hayati Bachok telah mengamalkan kuarantin kendiri di rumah atas inisiatif sendiri serta tidak hadir ke mana-mana program di luar dan tidak bertemu rakyat.

“Semua kontak rapat kepada beliau telah dikenal pasti oleh pihak Pejabat Kesihatan Daerah Muar, telah menjalani ujian saringan dan sedang menanti keputusan dalam masa terdekat. Pihak Pejabat Kesihatan Daerah akan terus menghubungi sesiapa yang berkontak rapat dengan beliau untuk menjalani saringan,” katanya lagi.


BACA: 
 Perdana Menteri jalani kuarantin kendiri susulan Dr Zulkifli positif COVID-19

BACA: Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri positif COVID-19

BACA: Shahril Hamdan positif COVID-19 selepas pulang dari Sabah

PKWR ADUN Maharani dalam masa sama memohon maaf kepada semua yang terkesan dan menggesa masyarakat di DUN Maharani dan kawasan sekitar untuk tidak panik dengan mesej-mesej yang tular, sebaliknya sentiasa mendapatkan informasi sahih daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Dalam kenyataan yang sama, PKWR ADUN Maharani berkata, mereka mengambil maklum penularan mesej  tentang status kesihatan Nor Hayati yang turut mendedahkan maklumat peribadi beliau dan keluarga.

“Pihak kami telah mengenal pasti individu yang mula menyebarkan mesej tersebut dan telah membuat laporan polis serta bakal kami susuli dengan tindakan undang-undang.

“Pihak kami menggesa masyarakat menghentikan penyebaran maklumat peribadi beliau dan keluarga yang bercanggah dengan undang-undang dan boleh dikenakan tindakan,” katanya lagi.