Pengendali Lebuhraya PLUS melakukan persiapan awal bagi memastikan semua laluannya berada dalam keadaan baik dan sedia menerima kebanjiran kenderaan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Menurut Pengarah Urusannya, Datuk Azman Ismail, pihak PLUS telah mengenal pasti beberapa kawasan laluan yang sering berdepan dengan masalah kesesakan setiap kali musim perayaan.

“Seperti tahun sebelumnya, kita telah membuat persiapan awal untuk menghadapi situasi ini dan bagi memastikan kita dapat mengurangkan kesesakan kepada pengguna.

"Ini dengan mengadakan juga laluan kontra. Laluan kontra itu telah sedia untuk digunakan tetapi kita akan menunggu kalau laluan terlalu sesak maka kita akan membukanya bersama arahan polis.

"Malah pihak PLUS juga telah melancarkan aplikasi mobile kepada pengguna bagi memudahkan mereka untuk berhubung dengan pihak PLUS sekiranya mempunyai sebarang masalah dalam perjalanan. Pihak PLUS akan menghantar segera bantuan kepada mereka secepat mungkin," ujar Azman.

Beliau ditemui Astro AWANI selepas melakukan tinjauan udara membabitkan laluan Utara-Selatan. Sepanjang tinjauan yang dilakukan laluan tersebut masih lagi bergerak lancer tanpa sebarang kesesakkan.

Tambah Azman, rekod pihak PLUS menunjukkan sebanyak 2.1 juta kenderaan mula menggunakan Lebuhraya PLUS untuk pulang ke kampung bagi menyambut Aidilfitri.

Statistik itu satu peningkatan sebanyak 40 peratus berbanding yang pernah dicatatkan pada tahun 2016 bagi tempoh yang sama.