AirAsia Group Bhd hari ini berkata syarikat itu dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Tan Sri Tony Fernandes akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa India dalam siasatan yang dijalankan oleh mereka.

Bagaimanapun, setakat hari ini baik kumpulan itu mahupun Fernandes menerusi kapasiti peribadinya, belum menerima sebarang notis untuk tampil di Biro Penyiasatan Pusat India (CBI).

"Jika dan apabila menerima notis itu menerusi saluran rasmi sebagaimana mengikut kedaulatan undang-undang Malaysia, kita akan mematuhinya mengikut proses dan ketetapan undang-undang ," kata AirAsia dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut laporan media, Fernandes telah diarah untuk hadir di CBI pada 6 Jun ini bagi tujuan soal siasat.

Laporan itu yang memetik sumber mendakwa ini berkaitan dengan kelulusan diberikan oleh Lembaga Penggalakan Pelaburan Asing kepada syarikat yang melabur dalam AirAsia India.

Baru-baru ini, CBI menamakan Fernandes, syarikat penerbangan itu dan beberapa yang lain dalam aduan membabitkan dakwaan mereka melobi pegawai India untuk mendapatkan lesen penerbangan.

-- BERNAMA