Seorang anggota polis berpangkat lans koperal maut selepas motosikal ditunggangnya terlibat kemalangan dengan treler di KM 24, Jalan Johor Bahru - Ayer Hitam berhadapan Balai Polis Senai, pagi tadi.

Muhammad Redzuan Abdullah, 29, yang bertugas di Balai Polis Senai, di sini meninggal ketika mendapatkan rawatan di Wad Kecemasan Hospital Temengggong Seri Maharaja Tun Ibrahim (HTSMTI).

Dalam kejadian jam 10 pagi itu, mangsa dalam perjalanan balik ke balai berkenaan selepas selesai membuat rondaan cegah jenayah (RCJ) di kawasan Senai.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Dzulkhairi Mukhtar berkata, siasatan awal mendapati, mangsa yang menunggang motosikal Yamaha 125z dalam perjalanan balik Balai Polis Senai selepas selesai membuat rondaan cegah jenayah (RCJ) di kawasan Senai.

“Tiba di tempat kejadian, mangsa berada di lorong kiri jalan hendak membelok masuk ke simpang kiri iaitu masuk ke Balai Polis Senai, tetapi bergesel pada bahagian belakang kiri treler Hino yang berada di lorong sama menuju arah Kulai.

“Mangsa terjatuh atas lorong kiri jalan kerana terlanggar treler, manakala motosikalnya terjatuh di bawah treler sebelum digilis,” katanya.

Dzulkhairi berkata, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam pada itu, isteri Allahyarham Muhammad Redzuan, Nur Afifah Mohd Nor, 27, berkata, suaminya keluar rumah kira-kira jam 9.15 pagi dan sempat memandikan dua anaknya yang berusia tiga tahun dan 10 bulan.

“Saya bekerja shif malam dan pagi tadi tertidur seketika. Dia kejutkan saya dan saya lihat anak-anak telah siap mandi.

“Saya sedih kerana dia ada minta buatkan air Nescafe, tetapi saya tidak sempat buatkan kerana dia mahu bergegas ke tempat kerja,” katanya.

Ujarnya lagi, suaminya tidak menunjukkan perubahan, tetapi ada memaklumkan dia merindui arwah bapanya dan mahu pulang ke kampung.

“Cuti dia dibekukan kerana Pilihan Raya Umum (PRU) akan diadakan tidak lama lagi, jadi saya cadangkan agar kami pulang selepas PRU, tetapi nampaknya hajatnya itu tidak kesampaian,” katanya yang memberitahu jenazah suaminya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Saleng, Kulai.

Allahyarham Muhammad Redzuan yang berasal dari Jerantut, Pahang dan mula berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak 2010.