Saluran berita Astro AWANI mengajak semua pihak untuk berkerjasama dalam usahasama 'Basmi Miskin Bandar’ untuk mempertingkatkan tahap kebajikan kalangan penduduk miskin bandar terutamanya golongan kanak-kanak.

Usahasama ini diinspirasikan daripada Laporan Kanak-Kanak Pinggiran yang dikeluarkan oleh Tabung Untuk Kanak Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) pada Mac lalu.

Menerusi usahasama ini, Astro AWANI akan mengupas dan mendalami kehidupan keluarga miskin bandar di sekitar ibu negara serta usaha yang dilaksanakan pelbagai pihak untuk menyelesaikan isu ini.

Laporan pertama usahasama ini diterbitkan pada Khamis, melibatkan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar yang melawat beberapa keluarga di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Rejang, Setapak, Kuala Lumpur.


BACA: Akses makanan sihat, kebersihan PPR: Kebimbangan perlu ditangani - Aktivis kesihatan

Selain kisah kehidupan keluarga miskin bandar, kempen ini juga akan menghubungkan golongan yang memerlukan dengan semua pihak yang mahu berkongsi kepakaran untuk membantu komuniti ini keluar daripada kemiskinan melalui pendidikan, teknologi, keusahawanan sosial dan pelbagai langkah lain lagi.

Usahasama ‘Basmi Miskin Bandar’ ini ialah inisiatif Astro AWANI dan bermula di Kuala Lumpur sebelum dikembangkan ke seluruh negara.