Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Saifuddin Abdullah, hari ini berkata beliau meragui apakah bentuk kempen yang akan dijalankan oleh PAS pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai apabila Barisan Nasional (BN) yang disokong oleh parti itu meletakkan calon berbangsa Cina.

Ia memandangkan PAS sebelum ini berkempen untuk calon Islam.

Katanya, lebih mudah jika PAS menyokong calon PH, Karmaine Sardini yang merupakan calon beragama Islam.

“Masalahnya sekarang ini adalah pada PAS, bagaimana mereka mahu berkempen untuk PRK Tanjung Piai?

“Ini kerana mereka sudah menyatakan sokongan dan bekerja rapat dengan UMNO. Adalah lebih baik jika PAS menyokong calon PH,” katanya ketika ditemui di lobi parlimen pada Khamis.

Jelasnya lagi, PAS sebelum ini pernah berkempen menggunakan isu kaum agama untuk memilih calon di tempat lain, maka terserah kepada rakyat untuk menilainya.

Terdahulu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan menyatakan sokongan terhadap Datuk Seri Wee Jeck Seng dari MCA sebagai calon BN.

Pada masa sama, Saifuddin turut menjelaskan PH tidak pernah menggunakan sentimen agama dan kaum sewaktu berkempen dalam PRK sebelum ini.

“Di mana kita letak calon itu bergantung kepada perkiraan, sebab itu kita tidak boleh berkempen yang mengatakan sokongan berdasarkan kaum.

“Ada masa kami meletakkan calon Melayu dan ada masa kami meletakkan calon Cina. Kami tidak berkempen dengan menyatakan mesti pilih calon Islam sahaja,” ujarnya.