KUALA LUMPUR: Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang telah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis yang mengambil keterangan beliau di Ibu Pejabat Pas di Jalan Raja Laut, di sini petang tadi.

Menurut Setiausaha Politik Abdul Hadi, Mohd Syahir Che Sulaiman, seramai dua anggota petugas khas polis Bukit Aman ditugaskan mengambil keterangan Abdul Hadi berkaitan dengan kenyataannya yang bertajuk "Ketinggian Islam wajib dipertahankan".

Mohd Syahir turut memaklumkan Ahli Parlimen Marang terbabit memberi kerjasama penuh kepada polis dalam sesi yang mengambil masa sekitar satu jam itu.

“Serah kepada Bukit Aman. Di pihak Tuan Guru kita beri kenyataan kepada Bukit Aman. Tuan Guru pun dah baca kenyataan daripada IGP, tentang kes ini, dan Tuan Guru pun dah baca kenyataan daripada Menteri Dalam Negeri semalam. Yang mana diwujudkan satu pasukan khas tentang isu 3R, berkenaan Tan Sri Tuan Guru.

“Jadi di pihak Tuan Guru kita beri komitmen, kerjasama sepenuhnya. Soalan boleh tahan banyak juga, beberapa muka surat,” katanya lagi.

Bagaimanapun Abdul Hadi tidak menemui wartawan yang menunggu di bangunan berkenaan selepas sesi tersebut berakhir.

Abdul Hadi kini disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung kenyataannya yang didakwa menyentuh raja-raja Melayu beberapa hari lalu.

Beliau didakwa mengeluarkan kenyataan bertajuk "Ketinggian Islam wajib dipertahankan"’ dimana inti pati kenyataan tersebut dipercayai ditujukan kepada alim ulama, peguam, hakim, ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri serta Raja-Raja Melayu.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah turut menzahirkan rasa dukacita dengan kenyataan tersebut dan menyifatkan Abdul Hadi tidak membaca secara menyeluruh dan mendalam titah ucapan baginda semasa Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) pada 15 Februari lalu.