Seramai empat orang mangsa terpaksa dipindahkan berikutan paras air yang meningkat mendadak dalam insiden banjir di Kampung Bikam, Sungkai, pada Sabtu.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bidor, Penguasa Bomba Herman Hamid berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai bencana banjir itu sekitar jam 7 petang.

Setibanya di lokasi, pihaknya mendapati banjir kilat itu berlaku susulan hujan lebat yang berterusan dan limpahan air sungai yang berdekatan.

"Seramai empat orang mangsa, terdiri daripada seorang lelaki warga emas, dua wanita warga emas dan seorang remaja perempuan.

"Kesemuanya kini dipindahkan keluar oleh anggota BBP Bidor dan ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Bikam,” katanya, sambil menambah, pihaknya kini masih dalam operasi pemantauan di kawasan tersebut.

Mangsa banjir yang ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Bikam. - Foto JBPM

Sementara itu di Taiping, sembilan mangsa yang terperangkap di dalam tiga buah rumah berikutan banjir di Kampung Padang Gajah akhirnya berjaya dipindahkan dengan selamat.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Taiping, Penguasa Bomba Sururi Ismail berkata, pihaknya menerima maklumat tersebut sekitar 5.37 petang dan bergegas ke lokasi.

“Kami dalam perjalanan ke Sungai Rotan untuk bantuan operasi banjir, namun sewaktu dalam perjalanan, kami telah berhenti di Kampung Padang Gajah untuk memberikan bantuan memindahkan sembilan orang mangsa di tiga buah rumah berasingan,” ujarnya ketika dihubungi Astro AWANI.

Balai Bomba dan Penyelamat Bidor menjalankan operasi pemantauan banjir. Foto JBPM

Katanya, sebelum itu pihaknya baru sahaja pulang daripada Jalan Beruas, Kampung Simpang Temelok bagi menjawab satu panggilan kecemasan melibatkan mangsa banjir.

“Dua orang mangsa iaitu sepasang suami isteri terperangkap di dalam rumah dan operasi menyelamat telah dijalankan,” tambah Sururi.

Dalam perkembangan berkaitan, tujuh termasuk seorang warga emas Orang Kelainan Upaya (OKU) berdepan detik mencemaskan apabila terperangkap selama tiga jam dalam kediaman mereka.

Ia susulan banjir yang berlaku di Jalan Ehsan, Kampung Salak Baru, Trong, petang semalam.

Mangsa yang terperangkap di dalam rumah berjaya dipindahkan dengan selamat. - Foto JBPM

Dalam kejadian sekitar jam lima petang itu, kesemua mangsa dipercayai terperangkap apabila rumah mereka ditenggelami air dan gagal untuk keluar menyelamatkan diri.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Taiping, Penguasa Bomba Kamarulhisham Jamaluddin berkata, selain wanita warga emas OKU itu, turut terperangkap dua kanak-kanak perempuan, seorang lelaki dewasa dan tiga perempuan.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, kami dapati kesemua tujuh orang mangsa dalam rumah tersebut tidak dapat keluar kerana kedalaman air pada ketika itu mencecah hampir 1.5 meter.

“Justeru, anggota BBP Taiping telah mengusung mangsa OKU tersebut keluar daripada rumah manakala penghuni yang lain dipimpin keluar ke tempat yang lebih selamat,” katanya.

Anggota BBP Taiping mengusung mangsa OKU keluar daripada rumah dan dibawa ke tempat lebih selamat. - Foto JBPM

Jelasnya, pihak BBP Taiping telah menempatkan kesemua mangsa di rumah saudara mara yang berhampiran.

“Kami menerima panggilan sekitar 5.08 petang dan operasi tersebut memakan masa sekitar tiga jam, tamat sepenuhnya dalam 7.43 petang,” ujarnya lagi.