Seorang lelaki maut manakala isteri dan anak perempuannya cedera selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka terbabas sebelum melanggar tebing bahu jalan dalam kejadian di Bulatan Telipok Ria, Jalan Kota Kinabalu-Tuaran, pagi Selasa.

Dalam kejadian jam 4.13 pagi itu, kenderaan tersebut 'bergolek' kira-kira 51 meter, mengakibatkan ketiga-tiga mangsa terperangkap.

Mangsa dikenali sebagai Thong Chung Wai, 59 tahun, maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala akibat tersepit di Ford Ranger dipandunya itu.

Sementara itu, isteri dan anak perempuannya berjaya dikeluarkan dengan bantuan sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran yang bergegas ke lokasi kemalangan sejurus menerima panggilan dari orang awam.

Ketua Polis Daerah Tuaran Dept Supt Dzulbaharin Ismail ketika dihubungi berkata, siasatan awal mendapati tiga sekeluarga itu dalam perjalanan menuju ke daerah Sandakan dari arah Kota Kinabalu.

"Apabila sampai di lokasi kejadian, dipercayai kenderaan tersebut dipandu secara laju dan ketika melalui Bulatan Telipok Ria, ia telah hilang kawalan, melanggar tebing bulatan lalu terbabas ke arah kiri dan melanggar tebing bahu jalan.

"Ia menyebabkan kenderaan itu bergolek beberapa kali lebih kurang 51 meter, lalu rebah di lorong kiri jalan menghala ke Tuaran. Akibat dari kemalangan tersebut, pemandu terperangkap di dalam kenderaan dan dikeluarkan dengan bantuan bomba," katanya.

Isteri dan anak Thong dihantar ke Hospital Tuaran bagi mendapatkan rawatan.

Mengulas lanjut, Dzulbaharin berkata, siasatan awal mendapati kemalangan ini berpunca daripada kecuaian pemandu Ford Ranger itu sendiri yang disyaki memandu secara melulu.

"Kemalangan ini adalah terbabas sendiri dan tidak melibatkan pihak lain.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.