Perkhidmatan bas ekspres dan bas antara daerah di Sarawak dibenarkan beroperasi semula selepas 1 Jun 2020.

Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Lee Kim Shin, memaklumkan keputusan ini dibuat hasil mesyuarat terperinci pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) semalam (18 Mei 2020).

Justeru semua operator yang terlibat perlu membuat persediaan berdasarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) sebelum menyambung perkhidmatan.

“Ini termasuk menyahkuman bas, mengambil ujian sapu pemandu, menyusun atur semula tempat duduk penumpang untuk tujuan penjarakkan sosial, dan menyediakan peralatan yang lain seperti alat pemeriksa suhu, cecair nyahkuman, serta pelitup muka," jelasnya.

Lee berkata, langkah itu diambil untuk melindungi semua orang terutama pemandu bas dan penumpang dalam usaha mencegah penyebaran COVID-19 di Sarawak.

Untruk rekod, Sarawak sehingga semalam mencatatkan sifar kes positif COVID-19 untuk lima hari berturut-turut.