Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menyeru semua rakyat beragama Islam agar mengadakan solat hajat bagi pembebasan Masjid Al-Aqsa di Baitulmuqqadis daripada kepungan tentera regim Zionis.

Baginda bertitah penutupan Masjid Al-Aqsa itu sudah menjadi satu petanda yang agak merungsingkan bagi semua umat Islam di seluruh dunia.

"Saya ingin menjemput supaya kita semua adakan sembahyang hajat.

"Kita baca dan dapat lihat dalam kaca televisyen keadaan Masjid Al-Aqsa yang mana sekarang telah ditakluki oleh askar-askar rejim Zionis," titah baginda pada Majlis Mesra Aidilfitri Kementerian Sumber Manusia di sini, hari ini.

Baginda bertitah sembahyang Jumaat juga tidak dapat dilangsungkan di masjid itu buat pertama kalinya dalam tempoh 200 tahun.

Baginda bertitah penjagaan Masjid Al-Aqsa merupakan tanggungjawab bersama umat Islam.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang Datuk Seri Wan Abdul Wahid Hassan berkata, titah Tengku Abdullah itu telah dimaklumkan kepada Mufti Pahang Datuk Seri Abdul Rahman Osman untuk disampaikan oleh Jabatan Agama Islam Pahang kepada lebih 600 masjid seluruh negeri ini.

-- BERNAMA