Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu membentangkan Belanjawan 2019 Negeri berjumlah RM1.061 bilion.

Belanjawan yang bertemakan 'Bersama Memacu Harapan' itu memperuntukkan RM771 juta untuk perbelanjaan mengurus manakala RM400 juta lagi untuk perbelanjaan pembangunan.

Ahmad Faizal ketika membentangkan belanjawan itu pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini berkata, ia akan memberi penekanan kepada lima fokus utama.

Lima fokus itu ialah mengukuhkan ekonomi dan kelestarian sumber negeri; memacu kesejahteraan dan ekonomi rakyat; menggerakkan Revolusi Industri 4.0; meluaskan jaringan strategik pembangunan negeri dan memastikan perbelanjaan mengikut keperluan.

Menurut beliau, daripada RM400 juta perbelanjaan pembangunan sektor di bawah fokus memacu kesejahteraan dan ekonomi rakyat menerima agihan tertinggi iaitu RM238.38 juta atau 59.6 peratus.

Ia diikuti dengan RM142.4 juta (35.60 peratus) untuk mengukuhkan ekonomi dan kelestarian sumber negeri; RM14.82 juta (3.70 peratus) untuk meluaskan jaringan pembangunan strategik pembangunan negeri dan sebagai permulaan RM4.4 juta (1.1 peratus) diperuntukkan untuk menggerakkan Revolusi Industri 4.0.

"Di bawah fokus Mengukuhkan Ekonomi dan Kelestarian Sumber Negeri, kerajaan negeri akan melaksanakan program dan projek bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi di samping memastikan kelestarian sumber-sumber negeri," katanya.

Ahmad Faizal memberitahu, sektor perkhidmatan memberikan sumbangan tertinggi kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) negeri dengan jumlah RM46.371 bilion, iaitu 60.9 peratus daripada keseluruhan KDNK negeri.

Menurutnya, bagi tujuan memacu pertumbuhan sektor perkhidmatan, kerajaan negeri mengenal pasti pelancongan sebagai salah satu teras utama dalam merakyatkan ekonomi serta menjana ekonomi negeri.

Bagi tujuan, itu, katanya, kerajaan negeri akan menubuhkan Majlis Tindakan Pelancongan Negeri (PTAC) yang akan bertindak sebagai badan perancang, pemudah cara, pembuat keputusan dan penyelaras yang menggabungkan semua agensi berkaitan pelancongan demi untuk memastikan kesegeraan tindakan dapat dilaksanakan serta menggalakkan kedatangan pelabur berkaitan pelancongan ke Perak.

"Ini sekaligus akan mewujudkan peluang pekerjaan dan peluang perniagaan kepada penduduk bandar dan luar bandar," ujarnya.