Kerajaan Negeri Sarawak berharap Kerajaan Persekutuan memberi lebih perhatian terhadap sektor pelancongan negeri itu pada Belanjawan 2020 supaya aktiviti pelancongannya dapat dirancakkan lagi.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Negeri, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, keluasan Sarawak yang hampir sama dengan Semenanjung memerlukan kos lebih tinggi terutama dalam melengkapkan infrastruktur pelancongan.

Katanya, ditambah pula dengan faktor geografi negeri berkenaan, penyelenggaraan kawasan pelancongan sedia ada dan pembukaan kawasan pelancongan baharu sudah tentu memakan kos yang lebih tinggi.

"Kalau hendak membuka satu kawasan pelancongan baharu untuk sampai ke tempat itu memerlukan pembinaan jalan raya dan infrastruktur lain seperti bilik air, hotel, inap desa dan sebagainya. Ini memerlukan kewangan yang banyak dan itu satu kekangan yang kita hadapi," katanya.

Abdul Karim yang juga Menteri Belia dan Sukan Sarawak berkata, peruntukan tambahan juga penting bagi pengurusan perbelanjaan promosi dalam dan luar negeri.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan penyerahan Anugerah Emas yang dimenangi Lembaga Pelancongan Sarawak di Anugerah Pasific Asia Travel Association (PATA) 2019, Kazakhstan, pada 19 Sept lepas bagi kategori Media Pemasaran-Video Perjalanan.

-- BERNAMA