Vaksin Rotavirus akan dimasukkan dalam Program Imunisasi Kebangsaan (NIP) jika kadar kematian kanak-kanak di negara ini yang berumur lima tahun ke bawah disebabkan virus itu lebih daripada 10 peratus.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melalui Strategic Advisory Group of Experts (SAGE) menyarankan agar vaksin Rotavirus dimasukkan ke dalam NIP sekiranya terdapat 10 peratus atau lebih kematian kanak-kanak disebabkan oleh cirit-birit.

"Di negara ini kadar kematian dalam kalangan kanak-kanak pada tahun 2014 ialah 0.5 peratus manakala tahun lalu 2.9 peratus. Kadar ini adalah di bawah tahap peratusan seperti yang disarankan oleh WHO," katanya kepada Bernama, di sini.

Oleh itu, Dr Noor Hisham berkata sebagai pencegahan, vaksin Rotavirus boleh diperoleh di klinik dan hospital swasta yang menyediakan perkhidmatan suntikan vaksin itu.

Sementara itu, Pakar Perunding Kanak-Kanak, Hospital Pantai, Ampang, Dr R. Thanasegar berkata biasanya virus itu mengambil jangka masa dua hari sebelum timbul gejala kepada kanak-kanak berkenaan seperti demam yang tinggi, cirit-birit, kejang atau sakit perut yang berterusan.

Dr Thanasegar berkata terdapat lima spesies Rotavirus tetapi Rotavirus A ialah penyebab utama berlakunya Rotavirus dalam kalangan kanak-kanak dan jangkitan kali pertama akan dapat memberi imuniti apabila dijangkiti virus itu pada kali kedua.

"Hampir setiap kanak-kanak menjangkau usia lima tahun ke bawah mungkin pernah mengalami jangkitan virus itu yang boleh dikenal pasti melalui pemeriksaan sampel najis," katanya.

Bagi mencegah virus itu daripada merebak, Dr Thanasegar menasihatkan agar mengutamakan kebersihan di persekitaran khususnya peralatan mainan kanak-kanak, cara pengambilan dan penyediaan makanan serta minuman. Bagi mereka yang mengendalikan lampin bayi perlu mencuci tangan selepas menukarnya.

"Tiada rawatan yang khusus untuk membunuh virus tersebut tetapi apa yang penting ialah memastikan pesakit mempunyai kandungan air yang mencukupi dalam badan untuk mengelakkan dehidrasi(kehilangan air dan garam galian yang teruk menerusi muntah dan cirit).

"Di negara ini, jangkitan Rotavirus adalah punca cirit-birit yang utama menyebabkan kanak-kanak memerlukan rawatan hospital dalam bentuk menerima rawatan transfusi (memasukkan) air melalui saluran darah (intravena)," katanya. --BERNAMA